|
BERITA DAN ULASAN
Oleh SUWARNI MOKHTAR
Alamat emel ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan benarkan Javascript untuk melihatnya
KUALA LUMPUR 31 Dis. – Gereja Katolik dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata, Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya.
Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.
Hakim tersebut juga bersependapat dengan pemohon bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah.
Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam penghakiman lisannya, hakim itu menyatakan, perintah larangan yang dikeluarkan menyatakan penggunaan perkataan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam serta menggugat ketenteraman negara.
‘‘Pihak responden dalam hujahnya bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti bagaimana penggunaan perkataan Allah boleh mengganggu ketenteraman awam,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan, keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan itu menggunakan perkataan ‘Allah’ adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
Hakim Bee Lan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik yang difailkan melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Gereja Katolik antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan Allah dalam Herald-The Catholic Weekly adalah menyalahi undang-undang dan perkataan Allah bukan eksklusif untuk kegunaan agama Islam sahaja.
Sejurus keputusan itu diumumkan, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said meminta penjelasan sama ada ketetapan tersebut mempengaruhi permit penerbitan berkenaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2010.
Ini kerana, katanya, permohonan itu dibuat berdasarkan larangan terhadap permit bertarikh 1 Januari hingga 31 Disember 2009.
Peguam Porres Royan yang mewakili gereja itu sebaliknya menyatakan keputusan telah pun dikeluarkan hari ini dan terpulang kepada pihak-pihak yang terlibat untuk mentafsirkannya.
Kerajaan digesa cepat buat rayuan
Musa Awang, Muhamad Burok
________________________________________
KUALA LUMPUR 31 Dis. – Kerajaan digesa mempercepatkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggunakan saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu yang disifatkan merobek sensitiviti umat Islam.
“ABIM juga memohon campur tangan Majlis Raja-Raja untuk menghentikan segera polemik penggunaan kalimah Allah ini.
“Gesaan ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa raja-raja Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.
Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.
Mohamad Raimi berkata, keputusan itu tidak bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di antara agama-agama lain di negara ini.
“Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau autoriti agama Islam adalah tidak sah,” katanya.
Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berkata, keputusan itu bukan sahaja satu pukulan yang hebat terhadap agama Islam.
Menurutnya, PGSM tetap berpendirian perkataan Allah hanya eksklusif kepada penganut Islam.
“Bagaimanapun, PGSM akur dengan keputusan tersebut kerana menghormati mahkamah, namun akan mengkaji keputusan itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim, Muhamad Burok turut kecewa dengan keputusan itu dan mahu kerajaan mengambil langkah sewajarnya kerana perkataan Allah bukan satu mainan terutamanya untuk orang bukan Islam.
Menurutnya, perkataan Allah ditauhidkan sebagai ‘satu’ dan bukannya tuhan seperti yang difahami orang bukan Islam.
“Umat Islam memahami penggunaan perkataan Allah mengikut syahadah iaitu Allah adalah satu dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah dan ini bertentangan dengan pemahaman orang bukan Islam,” katanya.
Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, keputusan itu dilihat bertentangan dengan undang-undang yang terdapat di 10 negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
“JIM berasakan perlu penglibatan Mahkamah Syariah dalam isu melibatkan penggunaan kalimah Allah,” katanya.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan bersama KDN untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Menurutnya, dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja.
Perkasa mohon Majlis Raja-Raja bincang isu
KUALA LUMPUR 31 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) memohon Majlis Raja-Raja supaya membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, urusan berkaitan Islam adalah di bawah Majlis Raja-Raja dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam negara.
"Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153.
"Inilah masanya raja-raja Melayu bertindak melindungi Islam dan umat Islam menanti tindakan itu dengan penuh harapan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.
Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.
Ibrahim hairan kenapa urusan hal ehwal Islam boleh dicabar di mahkamah sivil.
Justeru katanya, Perkasa mendesak kerajaan supaya segera memperbetulkan keadaan itu agar agama itu tidak mudah dicabar oleh orang bukan Islam.
ULASAN (1)
PADERI, PENGANUT KRISTIAN DAN HAKIM KALAU MAHUKAN ‘ALLAH’ PELUKLAH ISLAM.
Bagi saya, kita boleh bersetuju dengan pihak mana-mana gereja untuk menggunakan perkataan Allah asalkan mereka patuhi dengan jelas syarat-syarat berikut:
i) Perkataan Allah yang hendak dipakai oleh gereja itu mestilah membawa erti : Allah adalah Tuhan yang satu tidak dua dan tidak tiga, tuhan yang berada diatas segala tuhan mereka yang tiga itu, iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Ibu dan Tuhan Anak. Ertinya Allah adalah Tuhan kepada seluruh makhluk termasuklah ketiga-tiga tuhan mereka itu.
ii) Allah tidak boleh menjadi ganti nama kepada Jesus Crist dan tidak boleh menjadi ganti nama kepada Tuhan Bapa, yang di dakwa suami Mary itu, kerana ketiga-tiga mereka itu adalah makhluk yang dijadikan Allah.
iii) Allah hendaklah di gambarkan dengan jelas oleh gereja berkenaan iaitu suatu kuasa yang maha tinggi yang tidak ada persamaan dengan sebarang makhluk di alam ini.
iv) Tidak ada kuasa lain dan Tuhan lain selain Allah. Dia tidak dijadikan bahkan dia yang menjadikan sekalian makhluk ini.
Oleh kerana Paderi Gereja dan Kristian itu juga dijadikan oleh Allah, maka wajarlah orang-orang Kristian itu memeluk agama Islam iaitu agama Allah yang baru mereka kenal dan mahu menggunakan perkataan itu, habis cerita!
ULASAN (2)
Ada banyak cara serta pilihan isu perkataan 'Allah' ini boleh dibuat oleh KDN serta menterinya sebelum sempat mereka yang berkenan membawa ke Mahkamah. Ternyata pegawai dan menteri di KDN yang lemah, mengakibatkan timbul masalah yang berpanjangan!
ULASAN (3)
Pihak Badan Kehakiman kenalah peka dalam memilih hakim bagi mengendalikan urusan 'syarak' seperti ini adalah langsung tak masuk akal kerana jelas sekali disini orang bukan islam tidak memahami dengan mendalam hakikat sebuah perkataan 'Allah' dari segi syarak.
Trackback(0)
|