 |
| ZAID IBRAHIM |
Jam 2.00 petang tadi saya dapat maklumat dari sumber yang boleh dipercayai, bahawa Menteri Undang-undang Malaysia Dato’ Zaid Ibrahim telah melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kabinet , kerana tidak setuju dengan tindakan kerajaan menangkap tiga warganegara Malaysia d bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Media oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Mustapha Mohamad, di Hotel Hilton ibu negara sekejap tadi, beberapa orang wartawan kanan, sambil berbual menantikan waktu berbuka puasa berkata, "Rakyat dah
 |
| SYED HAMID ALBAR |
dah lega bila terima berita Zaid letak jawatan.. tapi lewat petang ini, mereka sudah tak gembira lagi, sebab Paklah tak terima perletakan jawatan Zaid itu..”
Dalam perbualan Pengamal Media itu, saya dapat simpulkan, bahawa tindakan Zaid bercakap tanpa mengikut peraturan itu, terutama terhadap isu-isu penting yang menjadi perhatian umum , membuatkan rakyat terutamanya para Penyokong Kerajaan menjadi tandatanya; mengapa seorang menteri boleh mengkritik kerajaan dan yang dia sendiri menjadi anggota Jemaah Menteri !
Selain itu, cara Zaid mengeluarkan kenyataan sebelum ini, seperti cadangannya menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman , dia terkeluar dulu cakapnya sedangkan dia belum pun mencadangkannya kepada Perdana Menteri ataupun Jemaah Menteri sebelum mengeluarkan cadangan begitu, yang seolah-olah dialah ‘Perdana Menteri” , sedangkan Perdana Menteri sendiri pun membincangkan atau sekurang-kurangnya memaklumkan satu-satu cadangan yang penting itu kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman kepada masyarakat umum.
“ Itulah PM pun, sebelum nak lantik seseorang menjadi Menteri Kabinet tu tengoklah dulu latarbelakang orang tu dulu !.. boleh diharapkan ko tidak ..ini mengabihkan bogheh je jang ! ” sampuk seorang teman lama saya di sebuah media arus perdana dalam loghat daerah di Negeri Sembilan.
Saya agak terpegun bila mendengar orang ‘Qomat” untuk sembahyang Maghrib (selepas menjamah kuih dan minuman sebaik saja masuk waktu berbuka puasa) dengan suara nyaring dan berlagu merdu. Rupa-rupanya Datok Pa sendiri yang lakukan Qomat itu untuk Dato’ Mustapha Taib imamkan sembahyang.
Pada awal majlis itu, para hadirin bertepuk tangan bila Datok Pa membuat ucapan alu-aluan kepada para hadirin ke Majlis Berbuka Puasa untuk warga media itu , apabila beliau secara berseloroh berkata:
“ Saya sukalah nak mengumumkan, bahawa, tidak terlintas pun difikiran saya untuk meletak jawatan ..dan saya akan teruskan tugas yang diamanahkan oleh Perdana Menteri itu dengan sedaya upaya yang termampu oleh saya..saya harap ini jelas ye ..jangan nak tanya-tanya lagi lepas ni ”
Pengumuman Dato’ Pa itu menjadi kelakar dan menimbulkan gelak ketawa orangramai adalah ekoran ramai yang hadir itu mengemukakan apakah pandangan beliau terhadap perletakan jawatan Zaid Ibrahim petang tadi.
Sebenarnya, melihat kepada kenyataan media Zaid Ibrahim dalam berita larut malam malam tadi , orangramai atau sekurang-kurangnya saya sendiri terfikir bahawa Zaid tidak begitu berdisiplin, malah nampak reaksi air mukanya yang dia sebenarnya tidak tahu pun dengan mendalam tentang disiplin seorang Menteri Kabinet.
Semasa di Kota Bharu Kelantan semalam, Zaid Ibrahim dilaporkan oleh media sebagai berkata, “ Kerajaan tidak sewajarnya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan tiga individu kelmarin …”
Hal ini jelas apabila Menteri Dalam Negeri Dato’ Syed Hamid Albar mengulas tindakan Zaid itu dengan berkata:
“ Zaid ada dalam Kabinet , jika dia ada pendapat yang tersendiri dia seharusnya membawa kepada Perdana Menteri . Jika setiap ahli kabinet yang ada pendirian sendiri berbahas secara terbuka dalam media , kita akan berdepan dengan krisis pemerintahan..”
Itulah sebabnya seorang teman saya yang merupakan Wartawan Kanan di Kumpulan Utusan berkata kepada kami “ Cara Zaid bercakap macam dia ada pening sikit..” “Memang betul nampak anak matanya lain sikit bila dia bercakap semacam dia tidak ‘ focus ’ apa yang dicakapkan itu .” sampuk seorang teman wartawan yang lain.
Bagaimanapun ternyata ahli Jemaah Kabinet yang lain tidak sependapat degan Zaid Ibrahim, termasuklah Menteri Hal Ehwal Pengguna Dato’ Shahril Samad yang terkenal sebagai tokoh Umno yang ‘celupar’ dan sering mengkritik sesiapa saja yang difikirnya tak kena atau tak betul.
Mengenai tindakan pihak berkuasa polis menahan tiga individu dibawah ISA itu Shahril berkata: “ Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih relevan untuk diamalkan di negara ini…secara peribadi saya berpendapat ia masih perlu untuk mentadbir negara yang mempunyai pelbagai fahaman, budaya dan kaum ”.
Orang ramai atau rakyat negara ini boleh menilai apa yang baik dan apa yang buruknya penggunaan ISA dalam konteks menjaga ketentaraman dalam negara kita ini. Bolehkah atas nama ‘kebebasan bersuara’ kita membiarkan negara kita dikoyak rabak oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab, atau sesuatu mesti dilakukan untuk memadamkan api yang sudah mula membakar serambi rumah kediaman kita .
Perdana Menteri haruslah meneliti terlebih dahulu ‘riakrisik’ (istilah Kelantan mengenai pembawaan peribadi seseorang) seseorang tokoh tertentu sebelum melantiknya memegang jawatan tinggi dalam negara , apalagi untuk melantiknya ke jawatan Menteri Kabinet, agar ia berfungsi dengan sewajarnya, dan bukan sebaliknya, boleh menyusahkan majoriti rakyat negara ini khususnya para penyokong kerajaan sendiri.
|