|
| SHAFIE AFDAL |
Saya mewakili Pasukan Jelajah Merdeka yang dikendalikan oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) dan Yayasan Patriotik Bangsa (YPB) dengan ini menyatakan dukacita dan kekesalan yasng amat sangat terhadap Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (PKKW), Dato’ Seri Shafei Afdal serta Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian PKKW, yang menolak permohonan kami rakyat Maslaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk menyerahkan Jalur Gemilang yang kami arak ke seluruh negara melalaui dua atau tiga orang wakil kami pada malam Ambang Merdeka di Dataran Merdeka 30 Ogos lalu.
Kami dengan memandu 51 buah kereta pelbagai jenis bersama-sama dengan anggota keluarga masing terdiri dari ibubapa dan anak-anak termasuk bayi kecil yang masih menyusu berjumlah 151 dengan tema semangat patriotik bermula dalam keluarga sendiri, menjelajah ke seluruh negara mengarak jalur gemilang selama tujuh hari dan tujuh malam, tak menghiraukan hujan atau panas , debu, pasir, air dan lumpur, meredah gunung, hutan belantara, demi memuliakan ulangtahaun kemerdekaan negara.
Apakah salah kami? Kami tidak patriotik lagikah? Atau ada unsur-unsur untuk melemahkan semangat jati diri sebenar rakyat Malaysia yang cintakan Tanah Airnya seperti kami ini? Janganlah tunggu hingga sampai terjadi seperti di bumi Iraq baru nak insaf?
Kami menyeru Perdana Menteri untuk melihat perkara yang serius ini agar ia tidak menjadi buah mulut rakyat jelata tentang tingkah laku menteri serta pegawai tingginya yang langsung tidak menyumbangkan kepada kebaikan negara sempena program patriotik yang mereka sendiri kendalikan.
Terjawab sudah, mengapa rakyat Maslaysia tahun ini tidak mengibar Jalur Gemilang dan mengapa pula ada yang hendak pasang bendera terbalik. Inilah antara puncanya !.
LATARBELAKANG PASUKAN JELAJAH MERDEKA
Sedikit latarbelakang mengenai program patriotik ‘Pasukan PWM –YPB Jelajah Merdeka’, bagi memahami apa yang terjadi itu . Ia ditubuhkan pada tahun 2001 hasil perbincangan antara pimpinan PWM dengan Penasihat Tetap PWM Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi (yang sering membahasakan dirinya dengan penuh mesra sebagai Paklah dalam setiap pertemuan) yang pada masa itu berjawatan Timbalan Perdana Menteri.
Paklah (orang yang membantu kami mendapatkan bangunan PWM yang ada sekarang) sering datang ke PWM berbual dengan kami waktu malam (bila beliau berkelapangan) pada satu kunjungan mesranya dengan berkain pelikat, berbaju Melayu dan berkufiah , Paklah mencadangkan kepada kami, bahawa PWM tidak perlu membuat program berunsur kewartawanan semata-mata (kursus kewartawanan, kursus etika kewartawanan, undang-undang dan kewartawanan , seminar kewartawanan dalam dan luar negara), dengan katanya:
“ Selaian kegiatan kewartawanan , hendaklah ada juga sesekali dalam setahun satu program yang berbentuk kemasyarakatan yakni yang melibatkan semua lapisan rakyat, kerana persatuan wartawan ini dipandang neutral oleh masyarakat , oleh itu semua golongan rakyat boleh ambil bahagian, tanpa mengira fahaman politik dan kaum atau agama ”
Ekoran dari cadangan Penasihat kamai itu, kami di peringkat pimpinan PWM mengadakan perbincangan sesama sendiri bagaimana untuk merealisasikan pandangan Paklah itu, setiap malam sebaik saja saya habis kerja di Kumpulan Akhbar Utusan Melayu (iaitu sebuah syarikat akhbar yang menerbitkan akhbar autusan Melayu , Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan beberapa buah majalah lagi) kadang-kadang perbincangan ini sampai jauh malam hingga jam satu dan dua pagi. Pelbagai golongan masyarakat kami jemput menyertai wacana ini, bertujuan mencari idea terbaik.
Akhir sekali kami bertemu dengan satu golongan yang ideal dan sungguh luar biasa, iaitu
|
| JELAJAH MERDEKA 2006 |
sekumpulan anggota masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum , semua peringkat umur, orang muda, orang tua, pelbagai profesyen, iaitu doktor, arkitek, pegawai serta anggota tentera, pegawai serta anggota polis, peguam, tokoh koprat, penjaja, pegawai serta kakitangan kerajaan dan swasta, pengusaha perniagaan sendiri, orang-orang yang tak berkerja, pilot, pengawal keselamatan , guru, pelajar, nelayan, petani, ahli politik pelbagai parti dan lain-lain lagi , termasuk pelbagai personaliti bergelar JP, Dato’ dan Tan Seri serta Kerabat Diraja; mereka ialah ahli kumpulan motorsikal berkuasa tinggi pelbagai jenama , yang dikenali sebagai ‘Bikers’ .
Masyarakat ‘Bikers’ ini luar biasa sifatnya, mereka amat erat antara satu sama lain. Cuma mereka tidak ada satu program berbentuk kebangsaan yang tetap sebelum ini. Mereka ke sana ke mari setiap hujung minggu dengan pasangan masing-masing (tentunya isteri) dalam kumpulan-kumpulan kecil mengikut tempat mereka tinggal.
Di peringkat daerah atau negeri, dan peringkat kelab bagi kotaraya, ada juga bikers ini membuat program kebajikan, yang diberi nama ‘Charity Rides’ di mana mereka mengunjungi di Rumah-rumah Orang Tua dan sebagainya, bila sampai di sana, mereka masing-masing keluarkan wang dan menderma secara ‘Kutipan Kilat’
Mereka ada program tahunan yang agak besar iaitu `Three Nation’ yang mengumpulkan bikers dari Singapura, Malaysia dan Thailand setiap tahun secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Mereka mudah mesra, dengan syarat kita juga mestilah ada motorsikal berkuasa tinggi.
Kerana itu jugalah saya turut membeli dan memiliki sebuah Motorsikal Berkuasa Tinggi, Valcan Classic 800cc dari jenama Kawasaki buatan Jepun, setelah berhempas pulas belajar Sekolah Memandu terkenal di Hulu Langat, Surfine Hitech, milik teman sepersekolahan saya di Universiti Malaya, Dato’ Hanafi Mat Zain, bekas Pegawai Kanan JPJ yang meletak jawatan untuk berniaga sendiri, akhirnya saya berjaya lulus lesen B penuh dari JPJ untuk membolehkan menunggang motorsikal berkuasa tinggi iaitu bagi kelas 250cc ke atas.
Walaupun akibatnya di bahagian belakang buku lali saya melecur teruk beberapa minggu akibat terkena ekzos panas semasa belajar, tetapi berbaloi , kerana berikutan itu isteri saya begitu teruja sekali memakai pakaian kulit serba hitam dari kasut tinggi (boot) sampai ke jeket, bertopi keledar `fullface’ memeluk erat di pinggang saya dari belakang setiap hujung minggu.
Setelah beberapa siri pertemuan pada masa terluang samada hari biasa atau hari minggu, pagi, petang dan malam, akhirnya kami sependapat membuat keputusan merealisasikan hasrat Penasihat Tetap kami itu, dan terbentuklah satu pasukan patriotik yang jitu bernama pasukan ‘PWM-Jelajah Merdeka’ di mana kira-kira 500 Bikers dari kelab-kelab motorsikal berkuasa tinggi dan orang perseorangan dari seluruh negara mendaftarkan diri bagi satu matlamat iaitu mengambil bahagian dalam program patriotik Mengarak Jalur Gemilang ke seluruh negara menggunakan motorsikal berkuasa tinggi setiap bulan Ogos setiap tahun bagi meraikan ulangtahun kemerdekaan negara.
Keputusan ini saya sampaikan sendiri ke pejabat Paklah di Putrajaya dan beliau sangat gembira mendengar berita ini serta menasihatkan kami agar menulis surat kepada Dato’ Abdul Kadir Sheikh Fadzir , Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Kemerdekaan Negara untuk menjadi pasukan tetap pada perayaan ulangtahun kemerdekaan negara setiap tahun. Paklah juga mencadangkan agar kami menulis kepada pihak Petronas bagi mendapat tajaan petrol sepanjang penjelajahan. Kami amat gembira menerima jawapan daripada Dato’ Kadir pada akhir Jun 2001 dengan ayat yang ditulis seperti berikut;
“ Jawatankuasa Induk Perayaan Ulangtahun Kemerdekaan Negara dengan ini sukacita menerima pasukan PWM- Jelajah Merdeka sebagai pasukan tetap di bawah jawatankuasa ini setiap tahun mulai tahun ini dan Saudara Yazid Othman sebagai Ketua Pasukan ini dilantik sebagai salah seorang daripada Jawatankuasa Induk Perayaan Ulangtahun Kemerdekaan Negara berkuatkuasa mulai dari tarikh surat ini ditulis ”.
Selain itu kami kami juga sangat bersyukur kerana mulai tahun 2001 itu juga pihak Petronas membuat keputusan menjadi Penaja Rasmi Petrol pasukan PWM-Jelajah Merdeka ini setiap tahun.
Pihak pentadbiran Bukit Aman juga telah memberi kerjasama yang erat kepada pasukan kami ini dengan membekalkan sepasukan Polis Trafik seramai lapan orang dan satu Pegawai mengetuai penjelajahan kami dari awal hingga ke akhir.
Penjelajahan kami bermula pada 17 Ogos setiap tahun dimana pada tarikh itu diadakan Pelancaran Bulan Kemerdekaan oleh Jawatankuasa Induk Perayaan Ulangtahun Kemerdekaan Negara dan pada malam itu jugalah kami menerima Bendera Jalur Gemilang dari Timbalan Perdana Menteri untuk diarakkan ke seluruh negara dan diserahkan kembali kepada Perdana Menteri di Malam Ambang Merdeka iaitu menjelang detik 31 Ogos.
Bersama-sama dengan Jalur Gemilang itu kami juga membawa segulung Deklarasi Merdeka yang mengandungi sumpah setia serta tandatangan para Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk melindungi kemerdekaan tanah air yang diserahkan bersama-sama dengan Jalur Gemilang yang kami arak itu kepada Perdana Menteri pada waktu yang sama.
Bagi penjelajahan tahun pertama dan ke dua kami ikuti arah jarum jam, d imana kami bermula dari Dataran Merdeka pada 17 Ogos, menuju ke Negeri Selangor , terus ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan turun ke bawah melalui Baling dan Grik menuju ke Pantai Timur melalui Lebuhraya Timur Barat. Kami menyeberangi Banjaran Titiwangsa melalui Tasek Banding untuk tiba di Jeli Kelantan, menuju ke Terengganu terus ke Pahang dan ke Johor melalui Mersing . Dari Johor kami naik menyusur Pantai Barat melalui Muar ke Melaka dan Negeri Sembilan terus menuju ke Dataran Merdeka menyertai Ambang Merdeka menjelang detik jam 12 malam 31 Ogos .
Bagaimanapun, pada tahun ketiga kami mula menukar arah, iaitu arah bertentangan jarum jam, di mana kami bermula di Selangor, menuju ke Selatan Tanah Air dan terus ke Pantai Timur menuju ke utara melalui Lebuh Raya Timur Barat ke Utara dan terus ke Selatan untuk tiba di Dataran Merdeka menyertai Ambang Merdeka.
Negeri-negeri yang kami jelajahi mengadakan sambutan rasmi yang amat meriah dengan ucapan-ucapan patriotik yang berapi-rapi terutama menyentuh perjuangan Kemerdekaan Negara oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri masing-masing. Setiap kerajaan negeri menyediakan sama ada makan tengahari, atau makan malam bersama penginapan, dengan mengadakan program-program khusus sambutan ulangtahun kemerdekaan bersama rakyat tempatan masing-masing. Penduduk tempatan sepanjang laluan kami keluar bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
Lebih meriah lagi murid-murid sekolah berhimpun beramai-ramai di tempat persinggahan kami. Ada pula yang menjemput kami singgah sebentar dalam kawasan sekolah mereka untuk bersama-sama dengan program patriotik sekolah yang diatur lebih awal lagi.
Ada pula yang menyediakan Pasukan Tarik Tali dan meminta kamai berlawan dengan mereka. Ada pula menyediakan pasukan pancaragam dan kami diminta untuk menyanyi lagu-lagu patriotik dan lagu-lagu Langgam dengan Karaoke.
Selain itu di stesyen-stesyen minyak Petronas yang kami maklumkan lebih awal tentang jadual untuk memasukkan minyak distesyen-stesyen mereka, telah menyediakan sambutan yang cukup meriah , penuh dengan makanan dan minuman di bawah khemah di pekarangan masing-masing , dengan menyediakan juga segala kuih muih , buah-buah tempatan dan sebagainya. Mereka juga menyediakan PA Sistem dengan memainkan lagu-lagu patriotik di sepanjang kami mengisi minyak disitu.
Manakala pegawai-pegawai Petronas yang bertugas di zon-zon di mana lokasi stesyen minyak itu berada, turut hadir bersama pengusaha stesyen berkenaan . Para pengusaha minyak Petronas dari lain-lain tempat juga datang bersama-sama memeriahkan sambutan dengan memberikan kata-kata sambutan Selamat Datang ketempat itu. Keadaan-keadaan yang di sebut di atas, adalah merupakan suntikan semangat yang sentiasa membara di sanubari anggota pasukan kami.
Pada tahun pertama pasukan kami ke Sabah dan Sarawak melalui bantuan percuma Air Asia .Tahun kedua kamai dapat kerjasama TUDM yang menerbangkan motorsikal berkuasa tinggi kami ke Malaysia Timur dan balik semula ke Semenanjung. Manakala tahun-tahun berikutnya pula kami mendapat kerjasama dan pertolongan besar dari TLDM di mana Kapal-kapal Perangnya yang sebesar padang bola itu telah membawa kami ke Sabah dan kami mejelajah melalui jalan darat ke Kuching, Sarawak selama beberapa hari dan menghantar balik semula ke Pelabuhan Kuantan Pahang. Ini semua adalah berkat jasa baik Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Haji Abd.Razak, merangkap Menteri Pertahanan Malaysia.
Program di atas berjalan dengan baik sehinggalah tahun 2005 , di mana ketika kami sedang membuat persiapan untuk menjelajah, tersebar berita rakyat Indonesia telah mengadakan tunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia di Jakarta. Bendera Malaysia dibakar. Akhbar dan media Indonesia pula menyiarkan berita mengenai pembantu-pembantu rumah Indonesia yang berkerja di Malaysia telah dianiaya oleh majikan.
Oleh kerana kekacauan anti Malaysia di Indonesia ini berpunca dari laporan media, Paklah berpendapat media Malaysia harus menanganinya. Kami sendiri juga sebenarnya merasa terpanggil untuk menyelesaikan ketegangan diplomatik ini melalui teman-teman pimpinan Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) . Oleh yang demikian persiapan untuk Jelajah Merdeka bagi tahun 2005 itu terpaksa ditangguhkan dan ditiadakan bagi tahun 2005 ini. Pengorbanan ini terpaksa dibuat demi menyelamatkan maruah Jalur Gemilang kita yang sedang dibakar di Indonesia itu.
Saya mengetuai 19 orang Wartawan dari Malaysia terbang ke Jakarta pada 3 Mei 2005 dengan satu matlamat mengendurkan ketegangan diplomatik yang sedang tegang itu. Di Jakarta kami terus mengunjungi Duta Besar Malaysia di Indonesia bagi mendapatkan gambaran lebih dekat tentang apa yang terjadi serta menemui seorang wartawan Malaysia yang berada di sana . Dengan maklumat latarbelakang itu saya menghubungi Pak (Encik) Tarman Azam, Presiden PWI. Pak Tarman dan saya sering bertemu (sekurang-kurangnya sekali setahun) dalam forum-forum yang menyentuh bidang kewartawanan di peringkat negara-negara ASEAN .
Dalam kunjungan singkat ke Jakarta itu saya meminta serta mencadangkan kepada Pak Tarman Azam serta barisan pimpinan agar mengumpulkan para pengarang (editor) dan wartawan kanan dari pelbagai media cetak dan elektronik di Indonesia bagi membincangkan satu hal yang sangat sensitif kepada ke dua-kedua bangsa serumpun itu.
Alhamdulillah dengan izin Allah, dalam masa tiga hari, Pak Tarman Azam dan Jawatankuasa Pusat PWI telah berjaya mengumpulkan kira-kira 300 para pengarang serta wartawan kanan Indonesia dari pelbagai media di Dewan Pers Jakarta . Turut hadir ialah seorang wartawan veteran yang sangat dihormati dan disegani di Indonesia dan Malaysia, Pak Rosihan Anwar, yang menyumbangkan buah fikiran yang amat bernas dan penuh bermakna.
Selain itu, yang lebih menghairahkan saya ialah, teman-teman lama saya dalam kepimpinan PWI semasa saya memegang jawatan Presiden Konfederasi Wartawan ASEAN (CAJ) bagi penggal 1985-88 dulu termasuk Pak Tribuana Said dan Pak Sufian Lubis , turut sama hadir mengambil bahagian.
Terma ucapan utama saya ialah sekiranya Indonesia dan Malaysia berperang, siapakah yang untung, dan perlukah bangsa serumpun ini membiarkan diri kita diadu- dombakan oleh kuasa luar yang sentiasa bernafsu serta berkeinginan melihat Malaysia dan Indonesia berselisih faham, malah kalau boleh mereka mahu melihat kita berperang, dan mereka akan bertepuk tangan kegembiraan.
Sebaik saja saya habiskan ucapan saya kira-kira sejam setengah, Pak Tarman Azam bangun berucap dengan cukup tinggi semangatnya untuk perpaduan dua bangsa serumpun ini. Akhirnya kata sepakat ditemui dan di akhir pertemuan lahirlah ‘Persefahaman Jakarta’ yang ditandatangani oleh saya mewakili wartawan Malaysia dan Pak Tarman Azam mewakili wartawan Indonesia.
Dalam persefahaman itu pihak wartawan Indonesia berjanji tidak akan menimbulkan isu negatif terhadap Malaysia, iaitu apa-apa saja bahan yang boleh menyebabkan timbulnya kemarahan di kalangan rakyat Indonesia terhadap Malaysia, sebaliknya akan mencari hal-hal yang positif sebagai pendekatan terhadap isu-isu yang timbul khasnya dalam isu pembantu rumah dan pekerja Indonesia di Malaysia, isu Pulau Sipadan dan Ligitan , isu `tabrak’ kapal dan lain-lain . Dan begitu juga di pihak kami Malaysia tentang apa saja yang berkaitan.
Kedua-dua pihak bersetuju mengadakan ‘hotline’ antara Malaysia dan Indonesia. (PWI dan PWM) untuk bertanya terlebih dahulu tentang kedudukan dan status sesuatu isu yang timbul akan datang, agar tidak menimbulkan salah faham lagi.
Paklah menepuk bahu kami semua apabila laporan ini kami serahkan kepada beliau mengenai apa yang terjadi di Indonesia itu. “ Nih, Paklah nak you orang pi ke Bangkok pula buat perkara yang sama” kata Paklah kepada kami. Bagaimanapun saya meminta izin Paklah agar rombongan ke Bangkok itu akan kami tunaikan bila keadaan di sana agak reda sedikit.
 |
| ZAHID HAMIDI |
Jelajah Merdeka 2005 ditangguhkan sepenuhnya, dan Dato’ Zaid Hamidi mengambil kesempatan mengisi kekosongan pasukan kami itu bagi mengarak Jalur Germilang di ulangtahun kemerdekaan negara kita dengan pasukannya bernama SAM Kembara Merdeka. Bagaimanapun menjelang tahun 2006 kami kembali aktif dan buat persiapan untuk pasukan kami PWM-Jelajah Merdeka. Tetapi SAM juga meneruskan acaranya pada tahun 2006 ini, seolah-olah ingin terus mengambil tempat kami.
Atas desakan para peserta dan anggota pasukan kami, kami tidak akan berundur. PWM-Jelajah Merdeka diteruskan. Entah apa sebabnya wakil pasukan kami tidak dibenarkan naik ke pentas menyerahkan Jalur Gemilang yang kami arak ke seluruh negara itu kepada Perdana Menteri.
Dato’ Seri Dr. Rais Yatim (sekarang Menteri Luar) yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Kemerdekaan Negara enggan membenarkan kami menaiki pentas Ambang Merdeka yang dibuat di Kuching itu. Padahal pasukan Jelajah Merdeka kami tiba di Bandar Kuching dari Sabah tepat jam 7.00 malam 30 Ogos di mana anggota pasukan kami telah bersedia untuk mengambil bahagian seperti tahun-tahun sebelumnya. Hantu mana yang merasuk Rais kami tak tahu.
Tahun 2007 kami tidak mahu berlawan dengan Zahid Hamidi lagi. Kata Omar Mokhtar, Pahlawan Libya di zaman penjajahan Italy, katanya; “sekiranya ada orang membuat sesuatu yang jelek kepada kamu, janganlah kamu membalasnya, sebab dia bukanlah guru kamu.”
Lagi pula pada tahun 2006 banyak kerajaan negeri yang keliru, dan berkata; “nak sambut yang mana ni, Pasukan Jelajah Merdeka Datuk Yazid atau Pasukan SAM Kembara Merdeka Dato’ Zahid Hamidi. Lalu saya jawab sambut Dato’ Zahid lah sebab dia Timbalan Menteri, (itu dulu, sekarang Menteri di Jabatan Perdana Menteri) nanti malu dia. Bagaimanapun keadaan jadi kelam kabut ,ada yang sambut kami saja, ada yang sambut dia saja, ada yang sambut dua-dua dan ada yang tak sambut dua-dua.
Kerana pengalaman buruk 2006 itu bila sampai 2007 kami terus buat keputusan meninggalkan pasukan motorsikal berkuasa tinggi dan menukar dengan konsep satu kereta satu keluarga . Ertinya tidak ada dua lagi pasukan bermotorsikal, yang tinggal pasukan Dato’ Zahid satu sahaja. Lebih senang begitu, tidak mengelirukan sesiapapun.
Kami mula menjelajah seperti biasa juga cuma kali ini menggunakan kereta. Ini tertunailah hasrat
|
| JELAJAH MERDEKA BERKERETA 2007 |
isteri dan anak-anak Bikers yang selama ini melihat bapa mereka sahaja yang menejelajah merdeka sedangkan mereka hanya menunggu di rumah. Tahun lepas 50 buah kereta dan tahun ini 51 buah kereta. Tahun lepas kita tidak lagi membawa Deklarasi Merdeka kerana pengalaman buruk ditolak oleh Rais Yatim di Sarawak itu .
Bagaimanapun tahun ini Pengerusi Perayaan bukan Rais lagi, tetapi Shafei Afdal. Oleh itu anggota pasukan kami membawa semula Deklarasi Merdeka untuk diserahkan kepada PM di Ambang Merdeka . Malangnya ia tetap ditolak juga pada 30 Ogos lalu. Yang menolaknya jelas iaitu seorang paegawai tinggi Kementerian PKKW, iaitu Ketua Setiausahanya serta Timbalan Ketua Setiausahanya.
Saya telah menulis surat kepada Shafei Afdal untuk meminta kebenaran menaiki pentas di Ambang Merdeka, dengan serahan tangan melalui seorang Pegawai Kanan Jabatan Perpaduan bagi menyerahkan Jalur Gemilang yang kami arak keseluruh negara itu bersama dengan Deklarasi Merdeka kepada Perdana Meneteri Malaysia . Ertinya nyanyian kanak-kanak di atas pentas itu dan program-program hiburan lain yang dibelanjakan dengan wang kerajaan itu lebih penting mengatasi segala-gala.
Ertinya juga Jalur Gemilang yang diarak oleh rakyat pelbagai lapisan msyarakat bersama anggota keluarga termasuk anak kecil di atas dada selama tujuh hari tujuh malam , menggunakan perbelanajaan sendiri mengharungi air, tanah dan debu, merentasi hutan belantara, menuruni cerun dan mendaki gunung dengan cuaca panas kepanasan, hujan kehujanan itu , tidak bermakna langsung buat Shafei Afdal dan Ketua Setiausaha serta Timbalan Ketua Usahanya.
Mana yang lebih bernilai dua kek hari jadi seorang ibu; kek pertama dibeli oleh seorang anaknya di mana wangnya diberikan oleh ibunya sendiri, dan satu kek lagi dibeli sendiri hasil dari anak-anak yang lain mencari wang sendiri ?
Marilah rakyat Malaysia menilai Menteri kita, Pegawai Tinggi Kerajaan kita. Tidak syak lagi, inilah antara faktor penyumbang mengapa rakyat biasa timbul perasaan benci kepada pemimpin dan kerajaan BN. Inilah puncanya. Tak usah cari alasan jauh-jauh, mengapakah kakitangan kerajaan sebahagiannya benci kepada kerajaan.
Kalau Ketua Setiausaha dan Timbalannya bersikap buta patriotik begini, jangan haraplah kakitangan bawahannya menjadi celik patriotik. Pengarah-pengarah dibawahnya memberitahu saya, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan dan Timbalannya ini memang mempunyai sikap anti sosial sepanjang masa, dan menghadapi masaalah dalam memahami pentingnya program-program perpaduan dan integrasi .
|