|
|
Pak Lah dan Nik Aziz -
seiring sejalan tak ada masalah
|
Cadangan Masyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Dato Nik Aziz Nik Mat ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ke 37 hari ini mengenai cadangan agar Pas dan UMNO dibubarkan dan dibentuk satu parti sahaja untuk orang Islam mengundang beberapa reaksi. Tok Guru Nik Aziz begitu serius akan cadangan itu sehingga katanya dia sendiri akan membawa cadangan itu ke Muktamar Tahunan ke 54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 – 17 Ogos 2008 nanti bagi mendapat pandangan perwakilan Pas seluruh negara.
Bagi Pas, teras perjuangan UMNO adalah untuk bangsa Melayu dan kepada Pas pula perjuangan parti mereka adalah perjuangan Islam. Dalam hal ini, tidak ada apa-apa perbezaan dari segi prinsip perjuangan baik UMNO mahu pun Pas. Mana ada orang Melayu yang tidak Islam dan mana ada orang Islam yang tidak mahu memperjuangkan bangsa dan keistimewaan yang mereka miliki melalui Perlembagaan Negara. Melayu itu Islam dan Islam itu adalah orang Melayu dalam konteks negara kita Malaysia ini.
Malah dalam Perlembagaan kita, begitu mudah seseorang itu dikatakan Melayu iaitu apabila seseorang memeluk agama Islam dan mengamalkan segala adat istiadat Melayu sudah dianggap Melayu. Sebab itu, kita melihat pelbagai rupa, warna kulit dan nama dalam UMNO itu sendiri. Malah ramai di kalangan mereka mewakili parti UMNO dalam pilihanraya dan akhirnya dilantik menjadi Menteri Kabinet. wajah dan keturunan mereka ini bukan berteraskan Melayu tetapi berdasarkan agama Islam yang mereka anuti. Malah, berapa ramai Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di seluruh negara bukan berasal dari keluarga Melayu tetapi yang pasti mereka itu adalah Islam.
Orang itu, kenyataan Tok Guru Nik Aziz bahawa UMNO memperjuangkan bangsa Melayu dan bukan Islam itu adalah tidak betul. Malah melalui perjuangan UMNO, maka perkembangan Islam begitu pesat dan maju sekali sehingga dipandang tinggi oleh negara-negara Islam di seluruh negara. Melalui perjuangan UMNO, maka usaha memerdekakan negara direalisasikan dan pembentukan Perlembagaan Negara yang dibuat begitu rupa oleh pemimpin UMNO memperakui bahawa agama rasmi negara ini adalah agama Islam.
Cuma apabila ada cadangan daripada Pas untuk membubarkan parti itu dan masa yang sama mencadangkan UMNO juga dibubarkan, maka secara positifnya cadangan itu adalah sesuatu yang baik untuk bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini. Melalui satu parti, maka perpaduan ummah dapat ditegakkan dan tidak ada pihak lain yang boleh memperkotak-katikkan ketuanan Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.
UMNO mesti mengambil peluang daripada cadangan ini kerana antara penyumbang kepada perpecahan dalam masyarakat Melayu dan Islam di negara ini apabila adanya sebuah parti yang menggunakan nama Islam (PAS). Keadaan ini secara langsung mengiakan bahawa hanya Pas sahaja memperjuangkan Islam, sedangkan UMNO tidak mahu Islam dilaksanakan di negara ini. Sedangkan anggapan itu tidak benar sama sekali. Tetapi apabila hanya satu parti mewakili orang Melayu dan Islam, maka perkara ini sudah tidak boleh dijadikan isu lagi.
UMNO dan Pas perlu mengetepikan kepentingan parti dan mengutamakan kepentingan kaum Melayu serta agama Islam sekiranya mahu melihat satu parti diwujudkan untuk dianggotai oleh semua orang Melayu dan Islam. Keikhlasan dan kejujuran mesti menjadi tunggak dan teras dalam melaksanakan satu kerja besar dan bakal mencatat sejarah politik di negara ini.
Peristiwa dalam sejarah Islam ketika pemilihan Khalifah mesti dijadikan rujukan Peristiwa di mana rundingan antara wakil Saidina Ali dan wakil Mauwiyyah di mana mereka berdua bersetuju untuk mengumumkan Ali dan Mauwiyyah menarik diri dari dicalonkan sebagai Khalifah. Wakil Mauwiayyah meminta wakil Ali mengumumkan penarikan diri dahulu kemudian disusuli oleh wakil Mauwiyyah. Atas kejujuran dan keikhlasan maka wakil Ali pun mengumumkan penarikan diri Ali daripada calon jawatan Khalifah, tetapi sebaliknya telah diambil kesempatan oleh wakil Mauwiyyah untuk mengumumkan nama Mauwiyyah sebagai calon jawatan Khalifah.
Peristiwa dalam sejarah Islam itu hendaklah dijadikan tauladan oleh ke dua-dua parti baik UMNO mahu pun Pas ketika membulatkan nekad untuk membubarkan ke dua-dua parti. Di tangan para pemimpin UMNO dan PAS diletakkan harapan yang begitu tinggi oleh orang Melayu dan Islam di negara ini agar perpaduan ummah dapat diwujudkan melalui satu parti itu. Jadi hendaknya tidak ada usaha dan helah sehingga berlaku peristiwa Ali dan Mauwiyyah dalam memilih calon khalifah dalam sejarah Islam berlaku ketika saat dan ketika UMNO dan Pas dibubarkan nanti.
Kalau ini berlaku, maka perpaduan ummah yang kita cari akan berkesudahan dengan kehancuran . Jangan ada musuh Islam mengambil kesempatan untuk memecahkan kita sesama Melayu dan Islam di atas kegagalan usaha itu nanti.
Apa yang jelas kini, usaha UMNO dan Pas yang mengadakan muzakarah dan muqabalah telah menyebabkan parti DAP dan PKR seperti `cacing kepanasan’. Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh dalam kenyataan akhbarnya berhubung muzakarah itu berkata bahawa mereka akan mengkaji semula keanggotaan Pas dalam Pakatan Rakyat secara serius. Keretakan dan ciri-ciri pepecahan gabungan parti yang membentuk Pakatan Rakyat ini sudah mula menyerlah. DAP begitu gelisah dengan perkembangan terkini parti terbesar orang Melayu dan Islam negara ini yang diwakili UMNO dan Pas.
DAP yakin gabungan dan perpaduan orang Melayu dan Islam akan menjejaskan peluang mereka untuk berkuasa di negara ini. Mereka bergantung kuat dengan Pas dalam Pakatan Rakyat untuk bersuara lantang menentang apa sahaja dilakukan oleh kerajaan untuk orang Melayu dan Islam. Mereka ingin memperkudakan Pas untuk mencapai kepentingan diri.
Ends/dnm
|