|
| AZMAN MOKHTAR |
Perkara ini sudah lama diperkatakan. Orang kampong melopong sahaja bila menonton siaran berita waktu perdana 8.00 malam. Sebab bila sampai bab berita ekonomi, orang – orang penting dalam syarikat senarai utama dan juga syarikat milik kerajaan (GLC) akan bercakap bahasa Inggeris mengenai prestasi dan rancangan masa depan syarikat itu.
Pelik sungguh! Berita-berita utama sebelum itu semua memaparkan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan Menteri bercakap dalam bahasa Melayu, tetapi setengah jam kemudian apabila TV3 menyentuh segmen ekonomi maka tampillah Pengerusi Ekskutif atau Ketua Eksekutif atau Pengarah Urusan syarikat bercakap di depan wartawan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Begitu selesa sekali mereka dan ada ketikanya apabila ditanya dalam bahasa Melayu agak terkial-kial. Seolah-olah bahasa Melayu itu bukan bahasa ibunda mereka. Terasa terasing sungguh pegawai itu bila bercakap dalam bahasa Melayu seolah-olah beliau tidak bercakap dalam negara Malaysia pulak rasanya.
Sejak dua hari lalu, saya berasa mual apabila menonton siaran berita terutama ketika segmen ekonomi di TV#. Dua orang penyampai berita TV3 memang boleh dipuji kerana berusaha menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan berita ekonomi, tetapi apabila petikan ucapan diambil terus dari pengucapnya maka cacatlah keseluruhan segmen itu. Lagi tidak sedapnya, apabila ucapan bahasa Inggeris pengawai-pegawai tinggi GLC ini diberi sarikata bahasa Melayu di bawahnya. Hina sungguh bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa rasmi negara.
Inilah yang saya rasakan dan kemungkinan dirasakan oleh kebanyakan penonton apabila melihat dan mendengar Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Azman Mokhtar, Ketua Eksekutif Khazanah Holding, Pengerusi Eksekutif MAS, Proton, UEM,TNB, Telekom dan ramai lagi peneraju GLC berbahasa Inggeris apabila memperkatakan prestasi dan rancangan untuk mengurangkan beban rakyat dalam krisis minyak sekarang ini.
Ini bukan masanya untuk semua peneraju GLC meletakkan diri mereka di atas dan dilihat global bila ‘tidak selesa’ bercakap dalam bahasa Melayu. Mereka mesti memberi nilai kepada bahasa melayu dengan bercakap mengenai ekonomi dalam bahasa rasmi negara ini. Orang kampong dan rakyat jelata keseluruhannya kini resah dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Peneraju GLC mesti merapatkan diri dengan persekitaran rakyat marhain dengan bercakap dan bertutur dengan bahasa harian yang mudah difahami. Rakyat jelata mesti diberi pendedahan situasai ekonomi dan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh negara dan kerajaan akibat kenaikan harga ini.
Tetapi rakyat tidak akan faham dan jauh sekali merasai beban kerajaan kalau peneraju GLC ini terus-terusan menjauhkan diri dari memberi maklumat tepat dan jelas melalui ucapan mereka yang berbahasa Inggeris itu. Hanya melalui siaran berita sahaja mereka berpeluang memberitahu rakyat kerana ‘batang hidung’ mereka pasti tidak akan dilihat di mana-mana kedai kopi, di tepi bendang, di tepi pantai , di atas pasar, di atas surau atau di mana-mana tempat rakyat marhain berkumpul dan bercerita mengenai kesusahan hidup mereka masa kini.
Selain daripada peneraju GLC, didapati juga ada di kalangan pemimpin ( Menteri ) yang begitu selesa bercakap dalam bahasa Inggeris di siaran-siaran berita. Media elektronik merupakan media yang terbaik dan terpengaruh yang sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh pemimpin kita bercakap dengan rakyat secara telus dan jujur. Maka gunakan bahasa mudah dan senang difahami. Kita berada di Malaysia di mana bahasa rasminya bahasa Melayu. Malu dan segan sangat ke untuk menggunakan bahasa Melayu itu. Mengapa ketika berkempen masa pilihanraya, pemimpin kita bersungguh-sungguh untuk bercakap bahasa Melayu malah menggunakan bahasa daerah pula lagi…sudah tentu untuk mendapat undi orang Melayu yang majoriti penghuni negara ini.
Tetapi kenapa selepas pilihanraya, bahasa Melayu dalam ekonoi itu hanya layak dicakap di pasar-pasar malam dan kedai kopi di kampong-kampong sahaja? Apakah orang kampong dan majoriti orang Melayu yang berhijrah di bandar-bandar besar negara ini yang berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan hidup tidak layak dimaklumkan dengan berita ekonomi negara dan ekonomi global dengan menggunakan bahasa Melayu? Tak layak ke mereka?
Maka saya mencadangkan agar stesyen televisyen swasta ini agar mencontohi RTM. Apabila siaran berita utama dalam bahasa Melayu, jangan sama sekali dibenarkan sesiapa sahaja ke udara dengan bercakap dan memberi pandangan dalam bahasa Inggeris. Media mesti berperanaan. Sekiranya menteri-menteri , peneraju GLC atau sesiapa sahaja tokoh masyarakat hendak memberi padangan, mereka mesti bercakap dalam bahasa Melayu. Kalau mereka tidak mampu, maka disenyapkan suara mereka dan biar penyampai berita sahaja yang menyanpaikan pandangan mereka itu. Lebih baik mereka bercakap dengan menggunakan bahasa Melayu yang tergagap-gagap dan tidak lancar daripada dia bercakap dalam bahasa Inggeris yang lancar. Baru kita mengenali lebih dekat siapa pemimpin dan tokoh masyarakat serta peneraju GLC yang benar-benar rakyat Malaysia yang mencintai negara dan bahasa rasmi negaranya.
Janganlah sampai siaran berita utama untuk bahasa Melayu pun hendak dikongsi bersama dengan bahasa Inggeris. Ini kerana semua stesyen tv baik RTM mahu pun swasta telah memperuntukan masa untuk siaran berita Inggeris dan bahasa Mandrin serta Tamil. Janganlah sampai ketika berita bahasa Melayu pun nak berkompromi dengan bahasa asing yang lain . Dah melampau sangatlah tu!
Trackback(0)
|
orang kampunglah yang mengundi memilih kerajaan jika dibandingkan dengan orang koperat dan pegawai kerajaan itu sendiri. Ada juga bertaraf lebih tinggi (sultan) yang kita sangat hormati PUN bercakap bahasa Inggeris sedangkan mereka raja kepada orang Melayu yang ditabalkan Melayu seratsu peratus melalui bahasa, bangsa dan jiwa orang Melayu.