Saya terpanggil untuk memaparkan tulisan dan cadangan dari mantan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Diraja Ungku A.Aziz yang di siarkan di Mingguan Malaysia hari ini. Beliau adalah mentor saya ketika saya menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya pada tahun 1980an lalu. Beliau banyak menunjukajar dan menasihati saya untuk berani mencabar dan dicabar. Malah banyak memandu tuju hala dan mencorakkan budya berpolitik saya , meskipun saya ketika itu hanya pemain dalam politik kampus sahaja. Namun sudah berani untuk mencabar pemimpin kerajaan, waima Perdana Menteri sendiri. Maka saya perturunkan tulisan beliau yang bagi saya pandanan dan cadangan yang ter baik dan berkesan sekali untuk menangani masalah kemisikinan di negara ini dan wajar dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional - Pengarang
Perbaiki kemiskinan di Malaysia
Prof. Diraja Ungku A. Aziz Menulis
SUATU perkara paling ketara dalam perancangan pembangunan Malaysia ialah ketiadaan perbincangan yang realistik untuk memperbaiki masalah kemiskinan melampau extreme poverty bagi setiap warganegara yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan.
Tanpa terjunam di dalam perangkap perbahasan remeh-temeh mengenai paras kemiskinan, adalah jelas bahawa sejak setengah abad lalu ketidakseimbangan dalam pembahagian pendapatan atau kekayaan semakin meluas. Dengan lain perkataan, golongan kaya bertambah kaya manakala yang miskin bertambah miskin. Mengikut bahasa statistik, ketidakseimbangan ini semakin berpintal (skewed).
Majoriti golongan miskin melampau adalah kaum Bumiputera. Mereka
termasuk yang tinggal di desa dan di kota dan kini semakin meningkat
bilangannya. Mereka yang ditakrif sebagai Orang Asli dan penduduk asal
Sarawak dan Sabah (natives) juga tergolong dalam kumpulan ini.
Di samping itu sejumlah besar kaum India, terutamanya mereka yang
tersingkir dari kawasan bekas ladang getah juga merupakan golongan
miskin melampau.
Bagi kaum Cina pula, terdapat sejumlah warga tua yang tercicir daripada
jaringan keselamatan tradisional. Golongan terbiar warga tua ini yang
pada kebiasaanya dijaga oleh pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan
mengikut dialek masing-masing.
Di sini saya tidak akan menyentuh tentang golongan pengemis dan anak-anak yatim.
Golongan miskin melampau dianggarkan berjumlah lebih daripada satu juta individu atau 300,000 hingga 400,000 keluarga.
Sekiranya keadaan ini terus diabaikan ia akan menjejaskan kestabilan
politik, terutamanya dalam rancangan pembangunan. Saya belum nampak
sebarang rancangan berkesan atau kenyataan-kenyataan khusus yang dibuat
untuk menangani masalah kemiskinan melampau.
Rakyat Malaysia harus sedar bahawa terdapat jurang perbezaan antara niat
dan perilaku. Perbezaan ini dipengaruhi oleh sikap kita terhadap
peredaran waktu. Menurut pesanan Keynes, in the long run we are all
dead! (dalam jangka panjang, kita semua akan menemui ajal!) Justeru,
berapa lama lagi kita harus menunggu?
Kononnya ada pelbagai teori berbeza yang direka untuk mengurangkan,
membasmi atau menangani apa yang disebut sebagai ‘kemiskinan tegar’ atau
hardcore poverty. Usaha yang tidak praktikal ini sebenarnya bermula
dengan niat murni, sungguhpun tidak ada satu pun yang meninggalkan hasil
berkesan dan berkekalan.
Istilah hardcore membawa maksud kesukaran yang berpunca dari akar umbi.
Kata sifat hard bermaksud sukar diatasi. Para perancang putar belit
politik Malaysia mahu kita percaya bahawa jika core atau punca akar umbi
itu boleh dihapuskan, maka keseluruhan masalah itu akan lenyap dalam
sekelip mata.
Sebenarnya ini bukanlah isu semantik. Ia telah mempengaruhi ramai
pencipta akronim, kata singkatan dan slogan. Kita perlu ingat kata
mutiara Marshall McLuhan: The medium is the message yang bermaksud
perantaraan ialah mesejnya.
Kumpulan Miskin Melampau
Saya mencadangkan satu penyelesaian holistik yang berkekalan terhadap
masalah yang berbangkit ekoran pengabaian ini. Bagi mengelakkan salah
faham, saya akan menggunakan istilah baharu iaitu Kumpulan Miskin
Melampau (KMM) atau Extreme Poverty Group.
Di sini, untuk memudahkan perbincangan saya cadangkan satu penyampaian
dalam bentuk kewangan supaya ia mudah difaham oleh pembaca biasa.
Dengan mengambil kira semua isi rumah warganegara Malaysia yang tinggal
di negara ini pada 1 Januari 2012 saya cadangkan setiap keluarga lima
orang ahli (contohnya, suami, isteri dan tiga anak) hidup di bawah paras
kemiskinan jika pendapatan kasar mereka kurang daripada RM800 sebulan.
Tanpa mengambil kira tentang perbezaan keperluan keluarga di kota atau
desa dan perbandingan jangka hayat kanak-kanak di bawah umur lima tahun,
data ini membayangkan bahawa jika anda tergolong dalam kumpulan miskin
melampau, anda mungkin lebih pendek umur atau lebih cepat sampai ajal
berbanding orang lain.
Aspek paling penting keadaan ini ialah kekurangan pertumbuhan jasad dan
otak, atau keadaan “terbantut”, (stunted) mengikut istilah Institut
Penyelidikan Perubatan Malaysia. Ini bermakna walaupun keluarga KMM
mungkin melahirkan lebih ramai anak, bilangan yang mencapai usia remaja
atau pertengahan umur semakin berkurangan sebagaimana yang tercatat pada
carta jangka hayat semasa.
Sebenarnya golongan KMM ini perlukan bekalan keperluan asas seperti makanan yang selamat, pakaian dan tempat berteduh.
Mereka tidak perlukan bantuan atau sumbangan bermusim seperti pada waktu
pilihan raya, perayaan atau pada bila-bila waktu pemimpin tertentu itu
berasa perlukan sokongan besar-besaran penduduk tempatan.
Acara tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan dari masa ke semasa
untuk melepaskan batuk di tepi tangga juga tidak memadai untuk membantu
mereka.
Cadangan baru demi memperbaiki kumpulan kemiskinan melampau
Usaha memperbaiki kemiskinan bermula hanya apabila warganegara paling
miskin mampu memberi makan dan pakaian kepada keluarganya mengikut
ukuran penjagaan asas (basic standards of care).
Satu rangka prasarana perkhidmatan diperlukan. Cadangan saya mengandungi
empat bahagian: sebuah Agensi Kerajaan untuk Menangani Kemiskinan
Melampau (AMKM) atau Agency for the Mitigation of Extreme Poverty, Ketua
keluarga (Kk), Mentor dan Peruncit berdaftar (Pb).
Pada peringkat awal di bawah rancangan ini kerajaan akan menubuhkan
sebuah agensi - AMKM - yang ditugaskan secara khusus untuk menangani
kemiskinan melampau di Malaysia. Peranan utamanya adalah untuk
menetapkan dan mengurus ganjaran bulanan (stipend) yang layak diterima
oleh Kk dan memastikan ganjaran ini digunakan dengan betul.
Jumlah ganjaran adalah sama bagi semua keluarga, tanpa mengira bilangan
ahli keluarga atau kedudukan mereka. Ia akan disalurkan melalui MyKad
yang diperbaharui dalam bentuk debit pratambah nilai yang hanya boleh
digunakan di kedai Pb.
Ganjaran ini bertujuan membantu KMM mendapatkan keperluan asas mereka
untuk setiap bulan. Jumlahnya perlu dibincangkan lebih lanjut.
Saya amat menitikberatkan penubuhan satu sistem yang telus,
bertanggungjawab dan berkesan bagi menyalurkan ganjaran secara langsung
kepada mereka yang paling memerlukannya. Adalah penting cadangan ini
mampu mendidik KMM secara holistik.
AMKM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah yang akan menyusun dasar dan
peraturan supaya Agensi ini dapat melaksanakan tugas dengan cekap. Ketua
Pengarah akan dibantu oleh barisan Mentor dan Penyelia Mentor Kanan
yang tugasnya akan saya huraikan seterusnya.
AMKM tertakluk di bawah peraturan dan amalan perkhidmatan awam akan
mengenalpasti kelompok isi rumah KMM yang akan diselia oleh seorang
Mentor di bawah Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan (Designated Service
Area).
Pada peringkat awal, seorang Mentor ditugaskan menyelia lima orang Kk
sehari. Sekali gus ia berkhidmat untuk 80 orang Kk dalam tempoh sebulan
bekerja. Setelah mendapat pengalaman, Mentor itu mampu menyelia bilangan
Kk yang lebih besar lagi.
Ciri-ciri Mykad hendaklah dipertingkatkan bagi meliputi kad debit khas
untuk KMM. Mykad berciri baru ini akan hanya dikeluarkan kepada mereka
yang layak ditakrif sebagai KMM sahaja.
Keseluruhan operasi ini perlu kerap diperiksa oleh Jabatan Audit Negara.
Pihak media serta Ahli Parlimen juga perlu terlibat sama dalam
pengawasan ini.
Sebagai bahagian kedua cadangan ini, Kk akan diberikan MyKad berciri
baru dan telefon bimbit terhad bagi membolehkan mereka berhubung dengan
Mentor. Dengan alat ini Kk boleh pergi ke mana-mana kedai Pb di Kawasan
Perkhidmatan Ditetapkan dan mendapatkan bekalan barangan pengguna
mengikut jumlah ganjaran bulanan yang dibenarkan.
Pb tidak dibenar menukarkan baki ganjaran dalam bentuk tunai dengan Kk.
Jika ada baki yang tidak dibelanjakan, ia akan dipulangkan kembali
kepada Agensi pada akhir bulan.
MyKad berciri baru dan telefon bimbit terhad itu hendaklah disimpan dalam sarung plastik yang boleh digantung pada leher Kk.
Mentor memainkan peranan penting dalam bahagian ketiga cadangan ini. Dia
adalah pembimbing, guru dan penasihat kepada setiap Kk dan keluarga
KMM. Mentor boleh bertindak sebagai penghubung di antara Kk dan semua
pihak lain termasuk agensi, Pb dan lain-lain Kk di Kawasan Perkhidmatan
Ditetapkan.
Tugas utama Mentor adalah mendidik KMM supaya mereka lebih proaktif
dalam menggalakkan ketelusan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab
mereka selaku penerima bantuan kebajikan. Mentor juga akan mendidik
keluarga itu semasa berkunjung ke rumah tersebut dan mengajar mereka
tentang kecekapan membeli, cara untuk membuat pembelian yang tepat dan
bagaimana untuk memaksimumkan penggunaan ganjaran.
Setiap Mentor hendaklah tinggal di Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan yang
mereka selia dan kegiatan serta kuasa mereka adalah terbatas pada
kawasan itu. Adalah lebih baik jika mereka mempunyai latar belakang
kebudayaan yang sama dengan keluarga di bawah seliaan mereka. Mereka
juga hendaklah mempunyai kenderaan sendiri seperti motosikal atau
basikal.
Di satu sudut lain pula, Mentor juga dikehendaki menyiasat jika wujud
amalan monopoli oleh pembekal atau penipuan oleh Pb. Semua aktiviti dan
pemerhatian mereka dicatatkan dalam laporan bulanan kepada AMKM.
Mentor juga hendaklah melaporkan kepada AMKM jika terdapat perubahan
dalam profil kewangan KMM. Contohnya, jika pendapatan kasar keluarga KMM
itu melebihi garis kemiskinan ini bermakna mereka tidak layak mendapat
ganjaran bulanan itu.
Sebaliknya jika keluarga Kk itu menghadapi sesuatu masalah seperti
ditimpa penyakit teruk yang memerlukan rawatan perubatan yang mahal,
Mentor hendaklah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapat
bantuan.
Mentor hendaklah berumur sekurang-kurangnya 25 tahun dan memiliki
kelayakan minimum SPM, mempunyai pengetahuan dalam bidang teknologi
maklumat dan cekap mengurus wang, mengira dan mempunyai kemahiran
berkomunikasi yang baik.
Mereka hendaklah memiliki sikap positif, jujur, prihatin dan berdaya usaha.
Pada umumnya, pesara-pesara perkhidmatan awam merupakan calon yang
sesuai memandangkan mereka mempunyai pengalaman berurusan dengan orang
awam. Peluang juga hendaklah dibuka kepada siswazah menganggur yang ada
pengalaman. Mereka hendaklah peka terhadap perbezaan gender, etnik dan
bahasa.
Jelas sekali Mentor merupakan penghubung paling penting dalam rangkaian
sistem ini. Justeru pengambilan dan latihan mereka hendaklah dirancang
dan diurus dengan teliti. Latihan yang diberi hendaklah sentiasa
berkesinambungan. Mentor hendaklah memahami sepenuhnya tanggungjawab
mereka sebelum bersedia mendidik KMM.
Tugas Mentor boleh diperkukuh jika mereka dibekalkan dengan komputer
riba yang lengkap dengan broadband supaya mereka boleh memperoleh
maklumat semasa melalui Internet. Ini sangat penting bagi kawasan desa.
Untuk mengetahui perkembangan semasa, Mentor hendaklah kerap mengadakan
rundingan yang diketuai oleh Penyelia Mentor Kanan di Kawasan
Perkhidmatan Ditetapkan.
Untuk pelantikan perkhidmatan awam, tempoh perkhidmatan Mentor hendaklah
digariskan dengan jelas. Gaji pokok mereka mungkin bermula daripada
RM1,500 sebulan dengan elaun sara hidup dan lain-lain faedah biasa untuk
kakitangan.
Mentor yang didapati melakukan penipuan boleh didakwa atas kesalahan
jenayah dan salahguna kuasa boleh menyebabkan dibuang kerja.
Peranan Peruncit berdaftar
Dalam bahagian keempat cadangan ini, Pb dilantik oleh AMKM daripada
kalangan peruncit sedia ada. Mereka dibekalkan dengan alat pengimbas kad
pintar untuk mengimbas ibu jari dan MyKad Kk.
Jumlah pembelian yang dibuat oleh Kk dalam setiap urusniaga akan dicatat
pada resit seperti amalan biasa. Salinan resit akan diberikan kepada
Kk. Semua urusniaga disalurkan secara elektronik kepada AMKM untuk
pembayaran balik kepada Pb.
Pb dikehendaki menyimpan stok barangan yang biasa dibeli oleh Kk di
Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan. Beberapa barangan keperluan asas
sememangnya termasuk dalam senarai barang kawalan harga. Mentor juga
perlu berwaspada memastikan tiada sebarang kegiatan monopsoni dan
penipuan atau penganiayaan oleh Pb.
Di kawasan pedalaman yang terpencil, AMKM boleh melantik Peruncit
Bergerak yang berniaga dengan menaiki van atau bot. Secara tidak
langsung ganjaran KMM itu akan mewujudkan satu pasaran yang belum pernah
wujud sebelumnya. Bila pasaran baru muncul, para usahawan akan
mengekori seterusnya tidak kira sejauh mana terpencilnya kawasan itu.
Pb tidak dibenar mengeluarkan wang tunai kepada Kk sebagai pertukaran
debit pada MyKad. Semua urusniaga akan dicatatkan oleh Agensi untuk
penilaian, ketelusan dan perancangan masa depan.
Memodenkan KMM
Sungguhpun tujuan utama cadangan ini adalah untuk mengatasi kesan
kemiskinan melampau, matlamat jangka panjang sebenarnya ialah untuk
memodenkan KMM dengan membantu golongan itu melompat keluar dari
belenggu buta huruf dan menjadi pengguna bijak. Bila kerap berurusan
dengan Mentor dan Pb, KMM mula belajar berfikir dengan lebih berkesan
untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlukan. KMM juga akan lebih
peka terhadap kepentingan menyimpan rekod. Sifat bertanggungjawab ialah
manfaat sebenar cadangan ini.
Anggaran kos cadangan
Anggaran untuk kos melaksanakan cadangan ini memerlukan kajian teliti
terhadap data yang tersimpan dalam beberapa bank data tetapi mungkin
tidak pernah dikaji.
Masalah ini menjadi lebih rumit memandangkan paras pendapatan yang
menentukan seseorang warganegara Malaysia hidup di bawah paras
kemiskinan masih belum ditetapkan secara rasmi.
Kos sampingan untuk melaksanakan seluruh cadangan ini memerlukan
peruntukan tahunan dan jumlah kakitangan AMKM yang ditetapkan mengikut
sempadan Kawasan Perkhidmatan ditetapkan.
Pada peringkat permulaan kita hendaklah mempunyai anggaran kos yang
berkesan untuk melaksanakan cadangan ini secara berperingkat dengan
memberi keutamaan kepada kumpulan masyarakat yang paling miskin.
Cadangan ini hendaklah didahului dengan kajian perintis (pilot surveys)
di beberapa kawasan perwakilan. Nisbah bilangan Kk yang diselia oleh
setiap Mentor merupakan penentu penting untuk memastikan keberkesanan
seluruh cadangan.
Secara keseluruhan, cadangan ini mengandungi empat unsur: pertama, kita
perlu memastikan kefahaman dan penerimaan konsep asasi ini. Seterusnya
kita hendaklah memastikan ia mencakupi semua KMM. Ketiga, cadangan ini
hendaklah dilaksanakan dengan berkekalan. Akhir sekali, kita perlu
menerima hakikat bahawa kejayaan sepenuhnya akan hanya boleh dicapai
dengan berkesan, secara berperingkat-peringkat dalam tempoh beberapa
tahun.
Pembaca perlu terima kenyataan bahawa penyampaian rangka cadangan ini
berlakarkan suasana yang benar, tidak berat sebelah dan berasaskan uji
kaji atau timbangan empirisis. Penyampaian itu harus tertumpu atau
terfokus kepada matlamat asasinya.
Hasil kajiannya hendaklah dilapor kepada satu pasukan khusus yang
berkekalan. Yang demikian, cadangan ini wajib dibaca sebagai satu
saranan yang berdiri di atas empat pangsi.
Saya perlu tekankan bahawa cadangan ini bukan satu muslihat untuk
memperkenalkan negara kebajikan (welfare state) atau seumpamanya. Ia
semata-mata untuk memperbaiki masalah kemiskinan dalam satu sektor
penting di negara Malaysia.
Akhir sekali, pihak di peringkat tertinggi kerajaan hendaklah mencari
keseimbangan berperikemanusiaan di antara jumlah kos pelaksanaan
cadangan ini dan kos sebahagian daripada projek prasarana atau alat
bekalan tertentu yang mungkin boleh dianggap keutamaannya tidak begitu
mustahak.
Secara ringkasnya, cadangan memperbaiki taraf KMM mempunyai tujuh manfaat:
1. Ia mencakupi semua warganegara yang mempunyai MyKad-KMM khusus.
2. Faedah kewangan dan lain-lain kemudahan akan dibahagikan sama rata dan secara langsung.
3. Cadangan ini akan mengubah tanggapan seluruh keluarga, mengurangkan
sikap tidak ambil peduli atau apathy dan mencetuskan minda positif,
proaktif di antara KMM.
4. Ia memberi fokus terhadap manfaat pemakanan dan kesihatan di kalangan kanak-kanak KMM yang sangat memerlukannya.
5. Tidak ada percanggahan di antara penyebab bantuan bukan kewangan dengan amalan perniagaan di Malaysia.
6. Ia membuka jalan bagi pembangunan ekonomi dan masyarakat yang tidak bergantung sangat kepada pihak lain.
7. Ia mampu memenuhi matlamat yang terabai sekian lama, iaitu membantu
Bumiputera khususnya dan KMM secara amnya, supaya mereka boleh hidup
berdikari.
Usaha merungkai masalah yang paling rumit boleh mencetuskan sinar baru terhadap penyebab kemiskinan yang wujud di negara kita.
Ada pula beberapa saranan yang kurang kukuh yang sukar diterima oleh
pembaca umum seperti: kemiskinan itu harus wujud disebabkan suratan
takdir, atau cadangan niat baik yang tinggal khayalan harapan kosong
sahaja. Atau ajuan politik depostisme di mana segala kuasa pemerintah
tertumpu kepada seorang pemimpin yang ganas. Atau rancangan
berdikit-dikit demi pencapaian reformasi yang lengkap.
Setakat ini, belum pernah ada cadangan seperti ini dihasilkan di
Malaysia. Ia merupakan cadangan yang julung kali serba lengkap dan
selari dengan satu model inovatif yang telah dicadangkan oleh penulis
dengan berskala agak kecil sedikit: iaitu Agensi Tabung Haji yang
ditubuhkan pada 1960.
Maka cadangan saya di bahagian permulaan adalah rumusan penulis veteran pada usia 90 tahun.
|