|
|
Ally Iskandar
|
Pagi tadi jam 8.08minit, saya amat tersinggung sekali, apabila sedang mengikuti MHI di TV3, dua juruhebahnya yang bernama Abby dan Ally tiba-tiba menukar bahasa Malaysia yang sedang
dituturkannya kepada Bahasa Inggeris apabila menghadapkan cakapnya kepada seorang rakyat Malaysia bernama Dato’ Sri Tony Fernandes pemilik Air Asia melalui telefon.
Saya tidak faham adakah mereka berdua bergilir-gilir bercakap dalam Bahasa Inggeris itu bertujuan nak beritahu kepada penonton yang mereka berdua boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris,
atau takut Tony Fernandes tidak faham? Kalau jawapannya yang pertama itu mungkin benar, mereka berdua mahu menunjuk-nunjuk melihat kepada cara mereka bercakap, penuh dengan ketawa,
padahal tiada yang melucukan.
Kalau jawapan itu yang kedua, iaitu Tony tak faham Bahasa Malaysia, tidak mungkin. Seorang rakyat Malaysia lahir di Malaysia , belajar di Malaysia di zaman lepas merdeka ini, adalah mustahil
tidak tahu berbahasa Malaysia . Apakah juruhebah TV3 itu fakir hanya orang Melayu sahajakah yang faham Bahasa Malaysia? Anda berdua bermimpikah bahawa rakyat Malaysia keturunan China atau
India atau rakyat Malaysia keturunan lain-lain bangsa semuanya boleh faham dan boleh bercakap Bahasa Malaysia dengan baik.
Tabiat buruk ini hendaklah dihentikan serta merta oleh sesiapa saja dan pihak mana sekalipun di negara ini.Bahasa Jiwa Bangsa !.
Janganlah ketinggalan zaman , lihatlah keputusan Bahasa Malaysia di setiap peringkat peperiksaan di Malaysia ini, tidakkah penguasaan Bahasa Malaysia pelajar bukan Melayu mengatasi pelajar
Melayu di banyak buah sekolah , atau sekurang-kurangnya sama. Anda berdua sebenarnya telah mencabul bahasa sendiri dan telah menghina orang Malaysia berbangsa bukan Melayu kononnya mereka tidak
boleh memahami dan bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Satu perkara lagi yang amat dikesali, setiap kali TV3 memperkatakan tentang perniagaan dan ekonomi, Bahasa Inggerislah menjadi bahasa perantaraannya.Apakah hanya Bahasa Inggeris sahaja ada
nilai ekonomi sedangkan Bahasa Malaysia hanya layak memperkatakan tentang perkara remeh temeh...layak hanya untuk Program Jom Heboh, Melodi, Bersamamu, 360, Apa-Apa Ajelah...dan banyak
lagi program yang hanya ditonton oleh orang Melayu yang berupa program santai-santai dan ringan-ringan.
Apakah orang Melayu ini hanya suka yang enteng-enteng dan tidak mahu menggunakan otak untuk program yang serius. Apakah Bahasa Melayu/ Malaysia tidak layak di pentas perbahasan dan perbincangan
tentang perkara besar, tentang dunia, tentang permasalah ruang lingkup kehidupan termasuk dunia perniagaan dan ekonomi.
Aduhai nasib Bahasa Melayu yang kini dah pun menjadi Bahasa Malaysia. Dalam sebuah negara merdeka lebih 50 tahun seperti Malaysia ini, Bahasa Inggeris masih diagung-agungkan dalam
perbualan harian. Masih ramai orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya kelihatan malu-malu dan segan-segan untuk bercakap dan berbincang dalam
Bahasa Malaysia...takut-takut dikatakan tidak moden, tidak bandar sifatnya dan dianggap tidak sosial .
Allay dan Abby mempunyai peranan yang besar sebagai orang yang terlibat dalam dunia kewartawanan. Sebagai pengamal media, anda berdua merupakan agen perubah. Jangan biarkan minda anda
berdua dijajah oleh budaya Barat. Jangan lihat orang seperti Tony Fernandes itu sebagai satu penghalang untuk anda berdua bertanya dan bersoal jawab dalam bahasa pengantar Bahasa
Malaysia. Anda berdua boleh menarik beliau ke topik perbincangan dengan menggunakan bahasa Malaysia. Saya sendiri yakin, Dato' Sri Tony Fernandas sendiri akan bangga jika bercakap
dalam Bahasa Malaysia dan beliau akan berasa aib kalau tidak fasih bahasa rasmi negara kelahirannya Malaysia.
Saya ingin menarik perhatian Ally dan Abby mengenai sebuah cerita di tahun 1970-an mengenai penumpang bas mini No.10 dari Selayang ke pusat bandar Kuala Lumpur. Suatu pagi di hari kerja ketika
bas mini penuh sesak, seorang warganegara Eropah yang berbadan gemok menahan bas mini itu di stesyen berhampiran Kg. Batek, kawasan pelancongan di Selayang. Salah seorang penumpang
bas yang sesak berdiri di tepi pintu meneriak kata-kata " Buka jalan...gajah mahu lalu!". Warganegara Eropah itu masuk ke dalam dan berdiri di belakang. Apabila sampai di Jalan Ipoh,
warganegara Eropah itu menekan loceng untuk berhenti dan apabila sampai di pintu tangga dia meneriak," Buka jalan...gajah nak lalu." Saya lihat semua orang dalam bas terpingga-pingga dan
suasana jadi sepi. Saya juga melihat orang yang meneriak ke arah warganegara Eropah tadi meraut wajahnya berkali-kali.
Jadi, saya juga takut akan berlaku cerita yang sama akan berlaku kepada orang seperti Ally dan Abby suatu hari nanti. Ke mana muka hendak diletak kalau orang seperti Tony Fernandes akan balas
cakap bahasa Malaysia pengacara yang bertanya dalam bahasa Inggeris. Bagaimana kalau nanti orang seperti Tony itu akan berkata, " Boleh ke saya jawap dalam bahasa Malaysia?"
Trackback(0)
|