|
Berikut ialah kertas ceramah yang dibentangkan oleh Presiden Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) merangkap Presiden Alumni Pengajian Media Universiti Malaya:
 |
|
DATUK YAZID OTHMAN
|
Oleh Yazid Othman ,
BA (Hons) Malaya, Penulisan Kreatif Diskriptif,
MA (Malaya) Penulisan Kewartawanan.
Presiden PWM merangkap
Presiden Alumni Media UM.
MUKADDIMAH
Pada satu pagi ketika dalam darjah lima di Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa Pasir Puteh Kelantan, guru kelas saya Che’ Gu Mohammad Bin Awg Kechik yang dikenali dengan panggilan Che Gu Mat, menunjukkan akhbar harian Utusan Melayu bertulisan jawi kepada semua murid dalam kelasnya dengan kata:
“Tahukah kamu siapakah yang sedang mengelilingi Queen Elizabeth ini..” sambil mengangkat akhbar berkenaan dan menunjukkan kepada murid gambar besar di muka hadapan akhbar itu. Tidak seorang pun yang menjawab soalan Che Gu Mat itu. Akhirnya Che Gu Mat beritahu dengan muka yang bangga dan senyum lebar, dengan kata :
“ Itulah namanya wartawan…wartawan ini bebas nak bercakap dengan siapa, tak ada orang yang boleh menghalang…itulah dia kebebasan seseorang wartawan…jadi kalau kamu mahu berkerja dengan bebas boleh jumpa sesiapa saja yang kamu mahu…boleh pergi ke mana saja yang kamu mahu…jadilah wartawan bila habis belajar kelak…”
Kata-kata Che Gu Mat itu menjadi azimat dan panduan kepada saya sehinggalah akhirnya saya jadi seorang wartawan, bukan kerana tak ada kerja lain, atau secara kebetulan sahaja, tetapi saya memilih untuk menjadi wartawan, walaupun masa itu saya mendapat tawaran-tawaran yang amat menarik tentang gaji dan kedudukan sosial dalam masyarakat, jauh berbeza daripada tawaran yang saya terima untuk men jadi wartawan.
Kertas ‘celoteh’ tulisan saya ini tidak bererti apa-apa kalau dinilai dari segi akademik, tetapi tujuan utama saya ialah untuk menzahirkan betapa ghairahnya menjadi seorang ‘WARTAWAN’ yang penuh warna -warni bergelumang dengan kehidupan orang lain . Pada pendapat saya, ia hanyalah boleh digambarkan keadaan sebenar, apabila ia dipaparkan dengan berdasarkan pengalaman peribadi orang yang memperkatakannya, dan bukan disedut atau dipetik , atau dikutip dari penulisan berbentuk akademik orang lain yang belum tentu mereka itu mempunyai pengalaman sebagai wartawan ataupun seronok menjadi seorang wartawan, tetapi apa yang ditulisnya sekadar memenuhi disiplin akademiknya sahaja.
GHAIRAHNYA DUNIA WARTAWAN
Selepas beberapa tahun menjadi ‘Stringer ’ Kumpulan New Straits Times (NST) di Kelantan dengan menaiki basikal dan minggu pertama saya diterima menjadi Wartawan Kadet Kumpulan Utusan Melayu, Pak Mazlan Nordin (kini Tan Sri) telah menghantar saya ke Kota Rome, Italy, menaiki pesawat DC 10 Alitalia Airline untuk menemui Pope John Paul dan dari situ terus ke Bandaraya Tripoli Ibunegara Libya bagi menghadiri seminar antarabangsa mengenai Zionism & Racism yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab sebagai ‘ Alsahyuni Wal - unsuriyah’ anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di sana saya diberi kesempatan menemuramah Presiden Muammar Gaddafi.
Saya tidak tahu mengapa saya dipilih oleh Pak Mazlan. Tetapi Pak Mazlan juga menguji saya sampai tercungap-cungap dengan memberikan arahan serta-merta bersama tiket penerbangan pada jam 11 pagi untuk bertolak ke Rome jam 2.00 petang untuk bertolak ke Singapura, dan jam 4.00 bertolak ke Rome dari Singapura, padahal saya belum mempunyai pasport antarabangsa lagi masa itu.
Mujurlah saya telah dilatih khusus oleh Pak Samad (Tan Sri A.Samad Ismail ) sendiri secara intensif selama dua tahun sebelum diterima dan dilantik secara rasmi menjadi ‘Stringer Kumpulan NST di Kota Bharu dan kawasan-kawasan lain di Kelantan’.
Dengan motivasi dan ujian dari Pak Samad (yang keras) itu saya tidak mempunyai perasaan takut, segan atau malu mahupun teragak-agak untuk menghampiri mana-mana pemimpin untuk berinteraksi secara yakin dan bertanyakan pelbagai soalan , walaupun berdepan dengan ‘Singa Afrika’ Muammar Gaddafi yang amat digeruni itu .
Bayangkan masa itu, (sekitar tahun 70an) bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur belum ada lagi. kapal terbangpun belum pernah saya naik,. ..tiba-tiba berada dalam business class pesawat DC 10 yang belum boleh turun di Lapanganterbang Antarabangsa Subang ,(kerana landasan itu ketika itu tidak boleh menampung pesawat yang begitu berat) kena ke Singapura terlebih dahulu..amat menggairahkan !.
Buat pertama kali saya bertemu dan bergaul dengan 300 orang wartawan dari pelbagai media yang datang dari suluruh dunia. Walaupun berlainan bangsa dan latarbelakang pengalaman di negara masing-masing, tetapi hasrat dan cita-cita-cita tetap sama .
Buat pertama kali saya amat teruja bila bergaul dengan wartawan yang sangat luas pengalaman mereka dalam bidang kewartawanan , dan sebahagian besarnya yang telah berumur. Peluang ini saya mengambil kesempatan menimba bermacam pengalaman mereka yang telah begitu banyak seperti air laut itu.
Dan dalam masa seminggu bergaul dengan mereka , membuatkan saya merasakan berada dalam ‘Dunia Kewartawanan’ yang benar-benar nyata dan mengasyikkan seperti yang telah saya mimpikan sebelum itu !
Bila pulang ke tanahair saya merasa sangat dihormati kerana setiap masa bila bertemu dengan kenalan saya, mereka akan bercakap tentang temuramah saya berserta gambar saya dengan Muammar Gaddafi yang telah dipaparkan dimuka hadapan akhbar Utusan Malaysia itu. Teman-teman saya yang sesama belajar di Universiti Malaya yang telah menjadi pegawai PTD juga menzahirkan keinginan mereka untuk menjadi wartawan, tetapi apakan daya, kata mereka .
Lebih ghairah lagi bagi wartawan hiburan yang akan terus berganding dengan bintang-bintang filem , para pelakon drama, penyanyi dan lain-lain, mengikuti mereka walau ke mana saja , termasuk keluar negara untuk urusan lakonan, persembahan dan sebagainya.
Wartawan hiburan akan sentiasa didekati oleh para artis yang ingin mendapatkan publisiti di akhbar-akhbar , majalah, radio, stesen-stesen tv dan sebagainya. Jangan terkejut, kalau ada wartawan hiburan lebih menonjol dari para artis !
Begitu juga Wartawan Perang atau War Correspondence , di mana wartawan terpilih akan pergi ke negara-negara yang terlibat dengan peperangan . Wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan peperangan ini akan didaftarkan dan dikawal selia oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa yang akan memberikan wartawan berkenaan tanda pengenalan khas pada baju Wartawan Perang itu berserta yangmana peraturannya tidak boleh ditembak oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam peperangan tersebut .
Wartawan Perang ini juga akan dibekalkan Jeket Kalis peluru bagi mengelakkan ‘peluru sesat’ yang mungkin boleh mengenai mereka.
Tidak kurang ghairahnya menjadi Wartawan Permotoran, di mana setiap kenderaan berinjin mereka berpeluang membuat percubaan terlebih dahulu sebelum membuat liputan berita mengenainya. Bayangkan setiap kereta mewah tak kira yang harganya berjuta ringgit itu , para Wartawan Permotoran inilah yang membuat pandu uji terlebih dahulu.
Memang syarikat-syarikat pengimport kereta mewah sering meraikan para wartawan ini dengan cara yang sangat baik, malah ada kadang-kadang memberikan hadiah –hadiah atau tandamata tertentu bagi mengambilhati mereka agar dalam penulisan masing-masing akan memberikan pujian yang tinggi terhadap kereta-kereta mewah mereka untuk tujuan pemasaran.
Pemanduan menguji kereta ini pula melibatkan perjalanan yang jauh , misalnya dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu atau dari Johor ke Bukit Kayu Hitam, dari Sabah ke Sarawak dan sebagainya, di mana segala makan minum untuk tempoh masa ujipandu itu serta penginapan disediakan oleh syarikat kereta berkenaan.
Saya menyebut ini sekadar satu dua contoh, tetapi sebenarnya banyak lagi keghairahan dan ransangan hebat dalam bidang-bidang penulisan lain lagi , seperti para perwakilan asing yang ada di negara ini sering menjemput para wartawan untuk melawat negara mereka , di mana ada yang berbulan-bulan , yang kesemua perbelanjaan makan minum tiket penerbangan, penginapan disediakan oleh tuan rumah !
CARA WARTAWAN BERKERJA
Awas, cara wartawan berkerja tidak tetap masa tertentu sebagaimana cabang kerjaya lain, tetapi masa mereka berkerja memang sesuai dengan bidang tugasnya masing-masing, sama ada pagi , tengahari, petang, malam, tengah malam dan dinihari.
Kecepatan mendapatkan sumber dan menulis berita menjadi matlamat kepada para pemberita di semua cabang berita; samada berita jenayah rompakan,pencurian, penipuan, pecah rumah, ataupun berita bomba, hospital, polis, tentera, ekonomi, pasaran saham, sukan , politik, nikah/cerai , pelancungan, kemalangan jalanraya, kemalangan udara, kemalangan di laut dan pelbagai lagi.
Oleh itu keluarga iaitu anak isteri atau suami kepada para wartawan atau pemberita, hendaklah terlebih dahulu memahami cara bapa/ibu atau suami/isteri mereka berkerja . Kegagalan memahami ini akan menimbulkan masaalah yang kronik. Walaubagaimanapun , hingga kini rumahtangga para wartawan kebanyakannya kukuh, terutama mereka yang memilih pasangan dari kalangan kaum wartawan sendiri.
Adalah biasa bagi pasangan wartawan, di mana isteri ke utara dan suami ke selatan mengejar berita dan mereka bertemu d imana-mana sekadar yang sempat sebelum berpisah lagi untuk tujuan tugas masing-masing .
Adalah lebih mudah bagi para pemberita mendapatkan sumber maklumat untuk dijadikan berita, sekiranya hal itu mempunyai fakta yang telah tercatit di pejabat-pejabat kerajaan, di balai-balai polis atau dihospital-hospital dan sebagainya, tinggal lagi kepandaian berkomunikasi dan bijak dalam seni mengambilhati seseorang pemberita itu, semua maklumat boleh didapati !
Bagaimanapun sekiranya satu-satu kejadian atau isu yang panas , yang biasanya melibatkan kepentingan moral dan umum, yang dijangka boleh menggemparkan orangramai atau boleh meletup, biasanya pihak yang mempunyai maklumat enggan berkerjasama untuk mendedahkannya kepada orangramai, lebih-lebih lagi kepada wartawan .
Nah, disinilah cabaran sebenar wartawan berkenaan untuk berkerja keras menyiasat dengan amat halus ,bagaikan ‘Menarik Rambut Dalam Tepung’ , dimana tepung tidak berselerak, rambutnya tidak putus. Wartawan yang melakukan tugas ini terpaksa mengambil masa yang secukupnya untuk menyelidik, mengkaji dan merancang pelbagai teknik penyamaran, termasuk juga menggunakan cara ala James Bond atau agen 007. Bentuk penulisan Ini terkandung dalam cabang ‘Penulisan Berita Penyiasatan dan Pentafsiran’, satu jenis berita yang amat menarik , dan sering menimbulkan kegemparan terutama di negara-negara Barat.
Sistem berita penyiasatan inilah yang telah menggulingkan beberapa ramai pemimpin dan tokoh terkenal dunia sehingga ini , termasuk pemimpin –pemimpin negara, tokoh-tokoh politik , tokoh-tokoh korporat, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan swasta, para artis terkenal dan lain-lain samada di Barat, di Asia dan Afrika. Peranan wartawan yang sebegini telah berlaku sejak akhbar pertama ditubuhkan pada kurun ke 17, hinggalah kesaat ini.
(Kerana kesuntukan masa dan ruang saya tak boleh perincikan bab ini disini, tetapi sekiranya ada bekas pelajar saya di UiTM dulu yang telah menjadi wartawan di pelbagai media atau pensyarah dan ada dalam majlis ini, bolehlah dipinjamkan nota kuliah saya yang agak terperinci itu, untuk kertas ‘Investigative & Interpretative Writing’ dulu itu, kepada calon-calon wartawan yang ada dalam dewan ini hari ini ).
Pada tahun 1970an dua orang wartawan penyiasatan Washington Post bernama Bob Woodward dan Carl Bernstein, yang sebelum ini tidak terkenal , tiba-tiba telah diiktiraf menjadi wira wartawan dunia secara mendadak setelah mereka berjaya membongkar Skendal Watergate, yang melibatkan salahguna kuasa, rasuah dan penipuan yang melibatkan Rumah Puteh, yang akhirnya membawa kepada perletakan
jawatan Presiden Amerika Richard Nixon .
PENDAPATAN WARTAWAN
Kini sebahagian besar wartawan negara ini berkelulusan dari Pusat Pengajian Tinggi, oleh itu gaji mereka juga turut tinggi. Pastinya tangga gaji swasta lebih tinggi dari tangga gaji kakitangan kerajaan. Memang lazimnya begitu, kalau tidak siapa yang akan berkerja dengan pihak swasta .
Biasanya gaji seseorang wartawan akan dinilai dari kemampuannya melakukan kerja yang cemerlang, selain dari pada tanggagaji yang diperjuangkan oleh Kesatuan Wartawan sendiri yang kebiasaannya akan menyemak semua tangga gaji para wartawan dan petugas Jabatan Pengarang setiap tiga tahun sekali.
Biasanya pendapatan para wartawan bermula dengan RM 1500 hinggalah ke RM 15,000 sehingga mencapai RM 20,000 dan ke atas. Itu tidak kira lagi alaun bertugas di luar negara , atau keluar dari Kuala Lumpur atau daripada tempat letak stesen atau pejabat mereka bertugas, yang termasuk sekali alaun makan dan penginapan.
Selain dari gaji dan alaun itu, apabila wartawan berkenaan menulis semula berita yang ditulis itu dalam bentuk rencana, maka rencana berkenaan berserta gambar yang disiarkan dibayar pula berasingan oleh pihak syarikat sebagai galakan kepada wartawan berkenaan untuk menulis rencana, selain dari membuat berita yang menjadi tugas asasinya.
Hal ini saya fikir sama juga berlaku pada para Wartawan Penyiar yang bertugas di media elektronik, di mana setiap penerbiatan yang dibuat , iaitu daya usaha yang dibuat tetapi bukan tugas hakikinya,
maka mereka akan diberikan ganjaran yang lain setimpal dengan usahanya itu.
Bob Woodward dan Carl Bernstein menjadi kaya-raya sekelip mata apabila berita penyiasatannya itu iaitu Skendal Watergate ditulis semula menjadikan sebuah buku yang diterbitkan dan diberi nama ‘All The President’s Man’ . Jutaan naskhah dijual dengan laris ke seluruh dunia. Selain dari itu, buku itu dijadikan filem dimana watak Bob dilakonkan oleh pelakon handalan Robert Redford, yang memberikan puluhan juta lagi kepada kedua-dua ‘Hero Wartawan’ itu.
ETIKA KEWARTAWANAN SEBAGAI PANDUAN
Memang setiap kerja ada peraturannya, dan bagi kerja-kerja kewartawanan, para pengamal media di ikat dengan dengan Etika Kewartawanan agar ia tidak menyalahgunakan ‘Kuasa Pen’ yang ada di tangannya.
Rukun etika ini cukup memandu para wartawan supaya tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai wartawan dan disamping itu menghalang pihak yang mahu memperalatkan wartawan daripada melakukannya . Para wartawan semacam secara automatik bersumpah menjaga etika mereka ini apabila masuk saja ke dunia kewartawanan.
Masyarakat menilai sesebuah organisasi berita itu kepada tatasusila para wartawannya menulis. Sekiranya unsur-unsur murni kewartawanan itu sudah dicabul, maka dengan sendirinya wartawan berkenaan dicemuh dan organisasi tempat mereka bertugas juga menerima kesan buruknya. Antara kesan buruk yang akan terus diterima ialah akhbar atau stesen penyiaran mereka tidak akan dilanggani, diboikot dan sebagainya.
Para pengiklan yang menjadi tulang belakang setiap organisasi media , terutamanya yang dimiliki swasta , akan mengalihkan iklannya kepada organisasi berita lain ,di mana memberikan kesan yang secara langsung kemerosotan ekonomi pemiliknya.
Anatara etika yang menjadi pegangan dan pantang larang para wartawan ialah;
a- Fakta berita yang benar, yang didapati dari sumber yang sah atau berwibawa,
b- Menulis dengan niat yang baik, tidak ada niat yang jahat,
c- Tidak boleh membuat fitnah ,
d- Ttidak boleh mencemarkan nama seseorang tanpa bukti yang kukuh dan nyata,
e- Tidak boleh menerima apa-apa sogokan untuk menyiarkan sesuatu berita,
f- Gambar-gambar yang disiarkan tidak boleh dipalsukan atau dipinda dengan niat jahat,
g- Buat pembetulan segera jika tersilap tulis atau tersilap gambar serta meminta maaf
h- Menulis hendaklah denan rela hati sendiri, bukan dengan paksaan,
PENUTUP
Dunia kewartawanan akan berkembang subur dan terus gilang gemilang, jika tidak ada gangguan dari pihak yang ingin mengambil kesempatan menyelahgunakan kedudukannya untuk memanipulasi para wartawan. Sebagaimana terdapatnya pihak orang yang mempunyai pengaruh menggunakan wartawan untuk menghapuskan musuh politiknya atau musuh perniagaannya.
Bagaimanapun terserah kepada wartawan berkenaan yang menentukannya, tidak ada pihak yang boleh memaksanya melanggar etika ewartawanan , kecuali wartawan itu sendiri yang ingin merosakkan maruahnya sendiri !
SUMBER RUJUKAN
1. Press Laws And System In ASEAN States, By Confederation Of ASEAN Journalists.
2. Isu-isu Komunikasi Massa oleh Everet E.Dennis, Arnold H.Ismach, Donald M.Gillmor terjemahan Md. Salleh Kassim, DBP.
3. Abdul Rahim Kajai, Oleh Abdul Latif Abu Bakar,
4. Media Massa, Oleh L.John Martin, Anju Grover Chaudhary terjemahan Bukhory Ismail
5. Wartawan Dan Cabaran, Oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia,
|