|
|
TAN SRI HASSAN MERICAN
|
Banyak sekali pertanyaan dihadapkan kepada saya oleh rakan, taulan, kenalan dan pelayar laman blog saya, melalui sms ke telefon bimbit saya, telefon pejabat serta rumah yang ingin
tahu pandangan saya mengenai persaraan Tan Sri Hassan Merican sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dan
akan digantikan oleh orang bawahan Tan Sri Hassan yang akan berkuatkuasa pada 10 Februari ini. , dan ingin mendapat pandangan saya apakah penggantinya kelak sama dengan Tan Sri Hassan atau
sebaliknya .
|
|
Dato’ Shamsul Azhar
|
Sebenarnya saya baru keluar dari berihat di PUSRAWI sebuah hospital swasta di Ibunegara kerana kurang sihat, demam dan pening-pening sikit hampir seminggu . Kini sudah ok dan boleh sambung
kerja semula dan juga boleh menulis semula bila terluang.
Mengikut maklumat yang saya dapat, Tan Sri Hassan Merican mula berkhidmat dengan Petronas sejak 1989 bermula dengan jawatan Naib Presiden Kanan Kewangan, kemudian dinaikkan pangkat kepada Ketua
Pegawai Eksekutif mulai tahun 1995. Sepanjang pengamatan saya beliau adalah seorang yang sangat berwibawa dan amat sukar dicari ganti dengan orang yang setanding dengannya.
Beliau seorang yang mempunyai kebolehan bersepadu, iaitu pandai mencari keuntungan dalam bidang perniagaan Petronas di dalam dan luar negara dengan membuat keuntungan ribuan juta ringgit setiap
tahun , dan pada masa yang sama pandai menjaga integriti Petronas dan peribadi beliau sendiri sebagai penerajunya, dimana moral dan pekerja organisasi petroleum nasional itu amat
dititikberatkan.
Setiap tahun satu hari pada bulan Oktober beliau akan mengadakan perhimpunan pekerja Petronas di sebuah dewan besar yang memuatkan 3,000 pekerja Ibu Pejabat Petronas termasuk anak syarikatnya
di KL Convention Centre serta mengadakan Sidang Video secara langsung dengan semua pusat kakitangannya diseluruh Negara seperti Kerteh , Sabah, Serawak dan lain-lain, khususnya dengan
pusat-pusat operasi Petronas yang ada di seluruh dunia .
Semasa Sidang Video secara langsung itu, Tan Sri Hassan berdiri dengan tegap di hadapan kamera dan skrin besar dengan membuka ruang yang seluas-luasnya untuk semua kakitangannya
mengajukan segala cadangan, kritikan dan ulasan secara berdepan dan beliau akan menjawab pula secara langsung semua persoalan yang ditimbulkan oleh para pegawai dan pekerja biasa Petronas dari
seluruh pelusuk dunia itu.
Beliau memulakan Sidang Video itu dengan membuat ucapan ringkas tetapi padat mengenai perancangan dan halatuju Petronas untuk tahun berikutnya, Oleh itu beliau meminta para kakitangannya
memberikan sebarang maklumat , cadangan ulasan serta kritikan untuk beliau jadikan panduan menyiapkan peruntukan kewangan dan rangka kerja organisasi GLC itu bagi tahun hadapannya.
Cara beliau menjawab semua persoalan yang ditimbulkan secara langsung itu amat menarik. Beliau tetap tegak berdiri tanpa rehat dan tanpa duduk di kerusi yang ada di belakangnya selama dua
hingga tiga jam berhadapan dengan soalan-soalan serta memberikan jawapan secara sepontan dengan gaya suara yang amat tenang, bersahaja tetapi bertenaga.
Selain dari persoalan sains perniagaan, carigali, ekonomi dan kewangan, beliau juga melayan persoalan tenaga insan, di mana suasana kerja , kenaikan pangkat dan gaji juga dijawab dengan cara
terhormat dan sopan sekali di mana orang yang bertanya itu tidak merasa dimalukan oleh beliau semasa memberikan jawapan.
Pernah seorang kakitangan Petronas meluahkan rasa tidak puashati kerana ketuanya tidak memberikan penilaian yang munasabah terhadap hasil kerjanya, yang menyebabkan beliau tidak dapat kenaikan
pangkat serta bonus, padahal dia memang merasakan layak untuk diberikan kenaikan pangkat dan tambahan gaji serta bonus.
Apa yang berlaku, setelah mendengar keluhan secara langsung dari pekerja itu, Tan Sri Hassan terus menyebut nama Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia Petronas, serta berpaling mukanya ke arah
Naib Presiden itu, sambil berkata: “ Tolong tengok segera masalah saudara kita ini”
Mendengar jawapan Tan Sri Hassan itu, pekerja tersebut mengucapkan ribuan terima kasih dan meluahkan rasa berbesar hati atas kesudian Ketua Eksekutif dan Pemangku Pengerusi Lembaga Petronas itu
yang sanggup melayan masalah peribadinya secara serta merta.
Kewibawaan Tan Sri Hassan amat jelas dapat dilihat, apabila Perdana Menteri Tun Mahathir (semasa pemerintahan Tun Mahathir bermula 1981 dan berakhir sebelum 2004) yang mengagumi hasil kerja Tan
Sri Hassan, telah menyatakan hasratnya untuk melantik beliau sebagai Menteri Kewangan, tetapi secara spontan dan penuh sopan menolak dengan berkata : “Maaf Dato’ Sri, saya bukan
ahli politik, tetapi ahli perniagaan..”
Dalam peristiwa lain saya difahamkan, bahawa Tun Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia, pernah bersimpati dengan sebuah syarikat swasta yang mempunyai masalah kewangan yang teruk,
lalu beliau meminta Tan Sri Hassan atas kapasitinya sebagai ketua syarikat petroleum nasional yang kaya raya itu, agar membantu menyelesaiakan masalah kewangan syarikat tersebut; tetapi Tan Sri
Hassan menolaknya dengan sopan dengan berkata : “No Sir”.
Mengapa beliau menolak, padahal Perdana Menteri yang memintanya berbuat demikian? Dan tidakkah ianya boleh menyinggung perasaan Tun Mahathir ketika itu ? Pada pandangan saya, itulah kewibawaan
terbesar Tan Sri Hassan demi menjaga integriti dan nama baik Petronas yang diketuainya itu.
Malahan, pada pandangan saya sebab itulah Tun Mahathir amat menyayanginya, kerana amat payah mencari orang yang boleh mengatakan “No Sir” kepada Perdana Menteri yang melantiknya
untuk berada di jawatan itu,
lebih-lebih lagi orang itu mengetuai syarikat GLC !
Saya yakin dan percaya hanya orang yang boleh mengatakan “No Sir” kepada bosnya dalam menjaga nama baik serta integriti organisasi yang diketuainya sahaja, yang layak
mengetuai sebuah syarikat GLC gergasi seperti Petronas itu. Tetapi tidak bererti saya menggalakkan orang berkenaan `melawan tokeh’ tetapi hendaklah mengatakan `tidak’ terhadap
benda yang dirasai dan dipercayai tidak betul sahaja, demi kebaikan umum.
Adalah sangat malang sekali, kerana hendak menyedapkan hati bos besarnya, seseorang itu terpaksa mengampu dan ikut saja apa cakap ‘bos’, padahal bosnya mungkin mendapat
nasihat yang salah dari pihak lain yang tidak memahami duduk perkara sebenarnya, yang boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap organisasi yang dipimpinnya, lebih-lebih lagi yang ada
hubungkait dengan kepentingan Negara.
Malah saya yakin, jika `bos atau tokeh’ itu diberikan jawapan yang jujur dan ikhlas mengapa beliau menolak arahan itu, tentulah sesiapa juga yang menjadi Perdana Menteri akan hormati
orang itu . Kita yakin `sokong yang membawa rebah’ amat berbahaya dan perlu dijauhi demi masa depan pemimpin tersebut.
Banyak pihak yang mengatakan Tan Sri Hassan tidak perlu diganti, bahkan disambungkan terus penggal kepimpinannya dalam Petronas. Untuk itu semua, marilah kita serahkan kepada takdir . Mungkin
ada hikmah di sebalik itu, bahkan pasti ada hikmah dari peristiwa ini. Lapangkan dada ,serahkan kepada pihak berkuasa yang lebih arif.
Selamat tinggal, selamat bersara Tan Sri, jasamu tetap menjadi ingatan oleh anak bangsamu yang selama ini amat berbangga dengan pencapaian Petronas di bawah kepimpinanmu. Kami mendoakan agar
segala jasa dan baktimu dibalas dengan kebaikan oleh Allah S.W.T.jua.
Disamping itu, marilah kita mengucapkan `Selamat Datang’ dan memberikan sokongan kepada pengganti Tan Sri Hassan itu . Selamat bertugas Dato’ Shamsul Azhar Abbas dan
kita berharap dan berdoa semuga anda dapat terus menjaga nama baik serta integriti Petronas . Sebagai orang kanan Tan Sri Hassan sebelum ini banyak panduan, pelajaran, maupun pengajaran yang
Dato’ timba , layarilah organisasi ini bak `menatang minyak yang penuh’; jangan sampai ia tertumpah, kelak buruk padahnya dan amat besar bala yang bakal menimpa agama, bangsa dan
tanahair kita kelak .
Siapa tahu, Dato’ Shamsul Azhar Abbas ini mungkin akan Berjaya membuat lonjakan lebih hebat lagi buat Petronas pada masa-masa mendatang .
Trackback(0)
|