Perhimpunan Agung PAS Se Malaysia yang diadakan di Selangor baru-baru ini , memberikan isyarat jelas bahawa kepimpinan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu diakhiri segera demi
peredaran masa , kerana Pesuruh Jaya PAS Kelantan itu , yang juga Menteri Besar Kelantan, sering mengganggu gugat hasrat kepimpinan PAS Pusat dari menjalankan tugas mereka dengan aman.
Semasa memberikan gangguan terhadap segala perancangan pimpinan PAS pusat itu Nik Aziz meletakkan dirinya sebagai Mursyidul Am PAS yang seimbas lalu semacam berada di kedudukan
tertinggi dalam parti. Tetapi hakikat sebenarnya tidaklah demikian. Kerana jawatan Mursyidul Am PAS itu hanya diwujudkan untuk memberi kan penghormatan kepada mana-mana tokoh
ulama PAS yang banyak berjasa kepada parti itu , tetapi kini sudah tidak memegang apa-apa jawatan lagi baik dalam kerajaan mahu pun dalam parti.
Jawatan itu sebenarnya sebagai penghormatan semata-mata , tidak ada sebarang kuasa eksekutif padanya dan pemegang jawatan itu tidak boleh menghalang apa saja keputusan parti ; samada
yang dibuat oleh Jawatankuasa Pusat , mahupun sebarang keputusan yang dibuat oleh Presiden parti sendiri, apa lagi keputusan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Agung Parti.
Semasa jawatan itu diwujudkan dahulu, Nik Aziz ketika itu dikatakan terlalu lama sangat memegang jawatan Ketua Dewan Ulama PAS, dan banyak pihak , terutamanya, kumpulan PAS Terengganu yang
telah mempunyai calon yang sesuai untuk Ketua Ulama PAS itu , iaitu Ustaz Harun Taib. Jawatan Mursyidul Am yang baru diwujudkan itu terus ditawarkan kepada Nik Aziz, dan Nik Aziz
menerimanya dengan baik.
Banyak pihak menyangka bila Nik Aziz menerima jawatan Mursyidul Am PAS itu, dia akan terus bersara dari politik. Tetapi perkembangan berikutnya ternyata Nik Aziz tidak bersara,
dan sebaliknya orang-orang yang taksub kepadanya mentafsirkan jawatan itu kononnya kedudukan Mursyidul Am PAS ini sama dengan jawatan dan kedudukan
Ayatullah Ruhullah Khumaini , yang boleh membatalkan semua keputusan yang dibuat oleh Presiden Iran !
Perlembagaan Republik Islam Iran memang meletakkan jawatan Ayatullah itu mempunyai kuasa eksekutif sedemikian, yang sama sekali tidak ada persamaan langsung dengan perlembagaan
PAS !
Hakikat sebenarnya Nik Aziz adalah seorang Persuruh jaya PAS negeri yang tertakluk kepada kuasa jawatankuasa PAS Pusat dan lebih dari itu ia berada dibawah kekuasaan Presiden Parti dalam semua
tindak-tanduknya. Ertinya Nik Aziz tidak boleh menyuarakan bangkangan terbuka seperti yang dibuatnya sebelum ini yang mengktritik Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung
parti itu, atas nama Mursyidul Am PAS !
Sebaliknya Presiden parti atau wakilnya (Timbalannya) serta Jawatankuasa Agung PAS yang memandu semua Pesuruh Jaya PAS di negeri-negeri dalam semua urusan parti, dan bukan
sebaliknya !
Itu adalah latarbelakangnya, dan perkembangan berikutnya selepas berlangsung PRU 12, ramai pihak sedar bahawa kemenangan calon-calon bukan Melayu dari parti pembangkang khususnya dari
DAP, telah menimbulkan kegelisahan bangsa Melayu seluruhnya; kerana tindak-tanduk mereka yang melampaui batas; seperti persoalkan kedudukan Raja-raja Melayu, Hak-hak Istimewa Orang Melayu,
menyentuh kesucian Agama Islam dan sebagainya lagi.
Menyedari ini ada pihak dalam PAS , UMNO dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan , telah mengambil dayausaha bagi melihat secara serius perkara ini. Berikutan dari itu ada syor agar UMNO
dan PAS berunding secara bersemuka mencari penyelesaian dan kepastian agar Agama Islam, Hak-hak Orang Melayu serta kedudukan Raja-raja Melayu tidak terjejas oleh perkembangan
semasa kini.
Apa yang berlaku itu masih rahsia ,dan adalah langkah awal kearah rundingan yang lebih rasmi diadakan antara kedua-dua Parti Melayu itu. Tetapi dengan tidak semena-mena Nik Aziz dapat tahu dari
pengkritik-pengkritik penyatuan bangsa Melayu ini, entah dari pihak mana, beliau terus melenting. Beliau merasa tersinggung sebagai orang yang menyandang jawatan Mursyidul Am PAS tidak diberitahu
tentang rundingan itu dan mencadangkan semua pemimpin PAS yang nak berunding dengan UMNO itu dipecat dari PAS.
Tetapi saya memang ‘Angkat Songkok’ kepada Presiden PAS Dato’ Seri Abd.Hadi Awang , Timbalannya Ustaz Nasaruddin Mat Isa serta Setiausaha Agung PAS
Dato’ Mustafa Ali yang sungguh tenang , ‘cool’ kata orang muda, di mana mereka ini tidak marah pun terhadap Nik Aziz yang melatah tak keruan begitu, sebaliknya
pemimpin PAS itu memanggil satu Persidangan Khas untuk membincangkan yang tersurat dan tersirat .
Melihat kepada kecenderungan (trend) yang berlaku dalam pemilihan PAS Pusat itu , satu isyarat jelas bahawa keseluruhan ahli PAS semacam tidak merestui Nik Aziz lagi. Contoh paling jelas
ialah Ayam Sabung Nik Aziz iaitu Dato’ Hussam Musa yang sering ditonjolkan oleh Nik Aziz sebagai bakal penggantinya, tiba-tiba ditolak oleh majoriti Ahli PAS yang mengundi dalam
pemilihan pucuk pimpinan PAS yang berlangsung di Selangor baru-baru ini. Hussam kalah ditangan Nasaruddin Mat Isa, bagi jawatan Timbalan Presiden PAS.
Nasaruddin Mat Isa , Timbalan Presiden PAS itu, secara jelas dan lantang , dicadangkan oleh Nik Aziz supaya dipecat dari PAS, bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin PAS
yang lain iaitu Presidennya ,Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, dan Setiausaha Agungnya Dato’ Mustafa Ali, dengan alasan menyokong gerakan penyatuan dan perpaduan
dengan UMNO.
Bagaimanapun, selain dari Nik Aziz seorang sahaja yang bersuara begitu, tidak ada langsung sambutan terhadap cadangan NIK Aziz itu dan sepanjang Persidangan Khas PAS itu , tidak ada langsung
suara yang menyokong cadangan NIK Aziz agar Abd Hadi, Nasaruddin dan Mustafa dipecat dari parti tersebut.
Jadi ,ertinya gerakan perpaduan UMNO dengan PAS masih tetap sedang diusahakan .
Malah semalam, 17 Disember 2009 semasa menyambut awal Muharram ,1 Muharram 1431 Hijriah, di Ibunegara, Presiden PAS dan Timbalannya, turut bersama-sama umat Islam di Ibunegara merayakan
Maal Hijrah di mana Timbalan SPB Yang Dipertuan Agung Tuanku Abdul Halim Al Muadzam Shah menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Tan Sri Dr.Yusof Nor dan Prof. Dr.Yusof Qardawi dari
Mesir dalam majlis itu.
Jika demikian, jelas di sini Nik Aziz sendiri secara peribadinya sudah tidak lagi mendapat sokongan majoriti dari majoriti ahli PAS , sedangkan seluruh kepimpinan PAS Pusat mendapat
dokongan yang padu dari ahli PAS.
Jika demikian sifatnya serta keadaannya, bolehkah dikatakan bahawa para penyokong PAS di Kelantan yang mengadakan demonstrasi di Bandar Kota Bharu pada hari Jumaat awal Disember
lalu , adalah semacam isyarat konfrantasi dengan pimpinan PAS pusat yang dipimpin oleh orang yang tidak disukai oleh Nik Aziz ?
Kepada siapakah ditujukan perhimpunan dan demonstrasi itu ? kepada penyokong UMNO? Tentulah tidak ! sebab mereka tahu bukan sekarang penyokong UMNO menolak kepimpinan Nik Aziz, bahkan
sejak tahun 1990 lagi, apabila Nik Aziz mungkir janji nak laksanakan Islam di Kelantan, sebaik saja memenangi pilihanraya umum masa itu.
Jika demikian kepada siapakah demonstrasi itu ditujukan ? sudah tentu bukan kepada Istana dan bukan juga kepada Kerajaan Persekutuan, kerana pihak istana dan Kerajaan Persekutuan tidak menyuruh
Kerajaan PAS Kelantan memecat Nik Aziz . Jadi kepada siapakah ditujukan ?
Seperti yang ramai menyaksikan demonstrasi tersebut , yang begitu menarik perhatian ramai ialah, apabila masyarakat keturunan Cina di Kelantan mengadakan perarakan hebat
bersama poster yang bertulisan Cina berwarna merah lebih besar dari Bahasa Melayu berwarna hijau yang bertulis ; “ Kami semua kaum hidup aman di bawah pemerintahan
Tok Guru”
Saya bertanyakan beberapa orang yang berkopiah , yang sama-sama keluar Masjid Muhammadi , iaitu Masjid Negeri , yang tua tetapi tidak besar saiznya, menuju ke White House
(nama Kedai Kopi depan masjid itu) , mengapa ramai orang Cina berarak sokong Tok Guru kelmarin, jawabnya:
“Macamana orang-orang Cina Kelantan ni tak sokong Tok Guru, semua kaum Cina dapat tanah ..termasuk dalam bandar Kota Bharu ni semua Cina dapat geran tapak rumah..semua
dapat..tapi orang Melayu yang miskin dan hidup menumpang dalam bandar ni tak dapat … “ saya agak yang bercakap itu samada guru yang pencen atau penjawat kerajaan yang pencen,
kerana bahasa percakapannya kelihatan bertenaga dan bermaklumat.
Aduh…tersentak saya..terkejut dengan berita terbaru itu !
Saya bertanya lagi , tunjuk perasaan itu dibuat sendiri oleh orang kampong kah?.. jawabya: “kalau orang atas tak anjur , tak mungkin begitu teratur dan begitu ramai ..tengoklah semua
wakil rakyat PAS pun begitu teratur dan seragam dengan kain merah pengikat kepala yang sama..ini bukan sepontan tetapi diatur rapi ..”
Jika benar lah begitu, bolehkah PAS pusat campur tangan agar tak berlaku ‘Kera di hutan disusui,anak di riba mati kelaparan’ ..?
Trackback(0)
|