|
|
Presiden MCA- Datuk Ong Tee Kiat
|
Pilihanraya Umum Ke 12 (PRU 12) ahun 2008 menyaksikan prestasi buruk parti MCA untuk mempertahankan 40 kerusi parlimen yang diperuntukkan oleh BN untuk mereka. Dalam PRU 12 itu memperlihatkan dengan jelas masyarakat Cina menolak calon-calon BN terutama dari MCA. Ini kerana 70% calon MCA telah ditolak oleh kaum Cina kerana dari jumla 40 kerusi diperuntukan untuk MCA hanya 15 kerusi sahaja yang menang.
Jika dibuat perbandingan maka secara statistiknya pada pilihan raya umum 2004 (PRU 11), MCA menang 31 daripada 40 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Daripada jumlah itu empat wakil mereka diangkat menganggotai Kabinet.
Sementara pada 2008, MCA tetap bertanding di 40 kawasan Parlimen. Namun hanya 15 calonnya yang menang. Walaupun prestasi MCA buruk dan sekali gus memperlihatkan bahawa kaum Cina menolak BN, namun menteri - menteri Cina yang dilantik dari kalangan MCA tetap kekal seramai empat orang.
Sedangkan keputusan pada pilihan raya umum itu memperlihatkan orang Cina jelas menolak calon-calon BN dari parti MCA. Kekalahan hampir 70 peratus calon MCA boleh ditafsirkan sebagai penolakan kaum Cina terhadap BN.
Maka secara relatifnya juga apabila mereka menolak calon BN, bermakna mereka menolak wakil mereka dalam kerajaan. Ini kerana umum mengetahui , hanya calon BN sahaja akan dilantik menganggotai Kabinet. Bagaimanapun di sebalik prestasi buruk pada 2008, kuota untuk MCA bagi jawatan menteri penuh masih dikekalkan .
MCA yang sebelum ini mempunyai empat menteri penuh mengekalkan jumlah tersebut walaupun sumbangan mereka kepada kemenangan BN sangat jauh merosot. Ketika pembentukan Kabinet, wakil-wakil mereka walaupun sudah menjadi minoriti dalam kerajaan, tetap berkeras tidak mahu diketepikan. Manakala Perdana Menteri pula tetap melayan mereka ibrat ‘Menatang Minyak Yang Penuh.’
Keistimewaan yang diberikan kepada calon MCA yang memenangi pilihanraya 2008 dapat jelas dilihat apabila Datuk Ng Yen Yen diberi kepercayaan untuk mengendalikan kementerian yang sebahagian besar bidang kuasanya meliputi kaum wanita yang beragama Islam.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui Yen Yen bertanggungjawab perihal undang-undang keluarga Islam serta yang berkaitan dengan peraturan nikah cerai, hak-hak isteri yang berpisah dari suami, harta sepencarian perlindungan wanita dan sebagainya. Ini menunjukkan wakil MCA atau jelasnya wakil kaum Cina , telah diberikan kedudukan yang cukup penting dalam kerajaan.
Jika peratusan diambil kira, hanya 25 peratus daripada Ahli Parlimen UMNO dilantik menganggotai Kabinet. Sedangkan untuk MCA, 26 peratus daripada Ahli Parlimennya ada dalam Kabinet Kerajaan BN kini. Jumlah menteri yang dilantik dari kalangan wakil MCA tidak pernah kurang, walaupun terang-terang kaum Cina menolak BN pada pilihan raya umum lalu !.
Yang terbaru ketika pilihanraya kecil di Bukit Gantang 7 April 2009 lalu. Calon anak tempatan yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian gagal menyaingi populariti calon Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin - yang menjadi Menteri Besar Perak selama 11 bulan.
Dikatakan bahawa taktik pembangkang melepaskan peluru penabur di saat-saat akhir dengan mensasarkan serangan peribadi kepada Ismail pada malam sebelum pengundian - sehingga tidak memberi peluang kepada beliau untuk membela diri - sedikit-sebanyak memberi kesan kepada pengundi Melayu atas pagar di kawasan Parlimen ini.
Dan seperti yang disebut-sebut oleh para pengulas politik , sepanjang kempen pilihan raya kecil ini, pengundi Cina menjadi penentu apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi untuk memberi sokongan kepada Mohammad Nizar yang menjadi calon pilihan DAP sejak awal-awal lagi. “Orang Cina peduli apa dengan BN, pemimpin kita yang terhegeh-hegeh pergi memujuk kaum mereka untuk mengundi BN dengan memberikan pelbagai projek dan bantuan segera berjuta-juta ringgit, pengabihrnya mereka pijak kepala kita..” kata seorang petugas Bilik Gerakan BN di Kuala Sepetang’ dalam kawasan pilihanraya Bukit Gantang.
Ternyata pendekatan populis terhadap kaum Cina di Perak yang diambil oleh Mohammad Nizar sepanjang menerajui kerajaan negeri, mendapat sokongan pengundi Cina yang meliputi 27 peratus daripada keseluruhan 56,462 pemilih berdaftar.
Meskipun dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO kononnya perkembangan dua tiga hari sebelum tarikh pengundian menunjukkan seolah-olah angin perubahan telah melanda kem BN khususnya kalangan masyarakat Cina tetapi realitinya tidak begitu.
Berhubung dengan sikap kaum Cina di kawasan Parlimen Bukit Gantang yang bermuka-muka ini, iaitu mulut mereka begitu manis menyanggupi untuk mengundi BN dihadapan para pemimpin atau Menteri Pusat yang datang berkempen, bertujuan untuk mendapatkan kemudahan dan bantuan segera , Pepatah Kelantan ada mengungkapkan hal ini berbunyi “Mulut Manis Jubur Masam” , ertinya dihadapan khalayak sengaja dimaniskan muka sekadar mengambil hati, tetapi dibelakang tetap masam dan tidak berganjak dari keputusan yang mereka sudah buat.
Sambutan hangat kepada program yang dihadiri Pengarah Pilihan Raya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Sepetang, tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang yang mempunyai 6, 276 orang atau 31. 8 peratus pemilih berdaftar kaum Cina mencatatkan jumlah keluar mengundi tertinggi semalam iaitu sebanyak 15,411 pengundi atau 78.14 peratus. Dan di situ sahaja, BN kalah dengan majoriti lebih 2,000 undi.
Maka berdasarkan scenario politik terkini MCA yang masih gagal menarik kembali sokongan masyarakat Cina kepada BN, maka adalah tidak wajar MCA untuk membuat desakan mengenai keanggotaan dalam Kabinet jangan dikurangkan . Mintalah secara berpada-pada ,jangan tamakkan jawatan, sedangkan kerja kita tak seberapa semasa pilihanraya !
Paling ketara ialah cadangan (juga boleh dibaca sebagai tuntutan) daripada MCA supaya diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II daripada kalangan kaum Cina. Antara alasan yang diberikan ialah kononya supaya wakil kaum Cina di negara ini mempunyai kedudukan yang lebih baik dalam kerajaan.
Janganlah jadi Belanda Minta Tanah, dan janganlah sampai terjadi cerita klasik kanak-kanak , bagaimana se ekor anjing yang tamak , yang terlepas tulang yang digonggongnya kerana sikap tamaknya menerkam dan menggigit bayangnya sendiri yang disangka anjing lain didalam air untuk merebut tulang. Buku klasik kanak-kanak itu menuliskan kata-kata “ Sesungguhnya orang tamak terlalu rugi macam anjing dengan bayang-bayang”.
Isu Timbalan Perdana Menteri 11 mula dibangkitkan oleh Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow. Dan calon yang paling layak untuk isi jawatan itu ialah Presiden MCA. Cadangan itu disokong oleh pemimpin MCA lain termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Wee Ka Siong. Walaupun mereka mengatakan ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan itu namun sedikit sebanyak MCA telah mendesak secara terbuka.
Apakah maksud tersirat MCA melontarkan padangan itu, adakah satu percubaan meraih sokongan kaum Cina ekoran kejutan besar yang dialami oleh parti komponen BN itu pada pilihan raya umum 2008? Tetapi kalau benar, pendekatan itu adalah salah dan berbahaya.Isu-isu berbau permintaan atau desakan itu sepatutnya dikemukakan dalam forum tertutup antara pemimpin-pemimpin tertinggi BN dan bukannya secara terbuka bagi meraih populariti.
Cara ini jelas memperlihatkan wajah sebenar MCA iaitu sebuah parti komponen yang rakus, yang tidak sabar-sabar mahu menuntut itu dan ini, walaupun mereka tahu peralihan kuasa baru sahaja berlaku.
UMNO yang menjadi parti dominant dalam pembentukan BN mesti mengambil sikap ‘jangan terlalu mengalah sehingga menjejaskan kepentingan orang Melayu’. Perlu juga diingatkan kepada pemimpin –pemimpin Melaya dalam UMNO, ‘tolong jangan gadaikan maruah dan kepentingan orang Melayu hanya sekadar untuk mengambil hati rakan dalam BN. Orang Melayu sudah lama tersiksa. Sikap mengalah pemimpin UMNO kerana menjaga hati rakan dalam BN, banyak kepentingan bangsa Melayu tergadai dan maruah mereka dipijak dan diludah.! “
Oleh itu, jangan kekecewaan orang Melayu kerana hak dan maruah mereka digadai oleh pemimpin Melayu maka tindakan radikal mereka ialah memalingkan wajah dari UMNO. Majoriti orang Melayu masih menaruh harapan tinggi kepada pejuangan pemimpin UMNO, maka janganlah sampai mereka hilang harapan dan kepercayaan terhadap UMNO.
Kepada kaum Cina perlulah diingatkan bahawa walaupun bangsa anda tidak sampai 30 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini, namun penguasaan anda dalam apa juga bidang tidak pernah dihalang. Malah ada hak-hak istimewa orang Melayu sendiri sudah mahu disentuh dan direbut. Apakah ini adil?
Sepatutnya semangat baru yang dibawa oleh Najib digunakan sepenuhnya oleh MCA untuk meyakinkan kaum yang mereka wakili itu untuk kembali menyokong BN. Ketika kaum Cina masih dilihat sebagai cenderung memihak atau simpati dengan pembangkang terutama DAP, maka tumpuan MCA ialah kepada usaha menafikan persepsi itu. "Bekerja dahulu, jawatan kemudian."
Trackback(0)
|