A free template from Joomlashack

A free template from Joomlashack


Langgan Info

Masukkan e-mail anda :

edisi baru !
Delivered by FeedBurner

Pengguna Online

Perkataan Rawak

Info Tamu

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini69
mod_vvisit_counterBulan Ini8138
mod_vvisit_counterJumlah846757
Jumlah helaian laman dilihat :free web stats
Laman Utama arrow Koleksi arrow CATATAN KUNJUNGAN TAKZIAH KE ISTANA SERI MENANTI
CATATAN KUNJUNGAN TAKZIAH KE ISTANA SERI MENANTI PDF Cetak Emel
tunku_jaafar_-2.jpg

 TUANKU MUHRIZ KETIKA MENITAHKAH 

PEMAKAMAN ALMARHUM TUANKU JA'AFAR

Catatan pertama saya pada 28 Disember lalu bertajuk Sekilas Memori Bersama Almarhum Tuanku Jaafar, tidak lengkap tanpa diturunkan catatan saya semasa menziarahi jenazah Almarhum di Istana Seri Menanti pada keesokan harinya 29 Disember 2008. Walaupun agak terlewat beberapa hari, kerana dihambat masa , kini saya peturunkan catatan saya itu di laman ini , semoga ada manfaatnya , walaupun kecil, segala maklumat yang dicatatkan ini .

 

Isnin lalu , 29 Disember 2008, saya dan isteri bertolak ke Istana Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan niat untuk menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Jaafar , Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang telah mangkat dua hari sebelumnya. Kami bertolak kira-kira jam 12.00 tengahari , kerana menunggukan isteri saya yang demam selsema pulih sedikit. Sebelum bertolak saya menghubungi Presiden Majlis Datuk Persekutuan Datuk Mohamad Maidin untuk mengajak sama ke Negeri Sembilan, tetapi beliau bermusyaqah tak boleh ikut bersama, dan meminta saya mewakili semua Ahli Majlis.

Selepas berhenti sekejap di rumah Tan Sri Annuar Musa di  Bukit Damansara, pemandu kami Zainol, memandu kereta agak laju sekitar 140 km/jam untuk mengejarkan masa. Kami terkejut dan agar risau apabila berita radio dalam kereta melaporkan ,  masa untuk orang ramai menziarahi jenazah Almarhum Tuanku Jaafar telah tamat. Seterusya radio melaporkan,  peraturan di Istana Seri Menanti menggariskan , orang ramai hanya dibenarkan setakat jam 12.00 tengahari, dan pelawat VIP sahaja dibenarkan melawat dari jam 12.00 hingga 2.00 petang. Selepas jam 2.00 petang hanya dikhaskan untuk anak-anak Raja, Raja-raja Melayu, Yang Di pertuan Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Besar dan Ketua –ketua Menteri dan isteri masing-masing.

Sampai sahaja di Kuala Pilah, jalan mulai sesak kerana jalan itu berliku-liku, Teringat saya jalan berlaku di tempat daerah Minangkabau kelahiran nenek isteri saya di Bukit Tinggi, Sumatera Utara di mana terdapat satu kawasan atas bukit yang berliku yang dinamakan ‘kelok ampek puluh ampek ( selekoh 44 ) yang mempunyai selekoh tajam dan sulit untuk kenderaan bergerak laju.

Di daerah Kuala Pilah  jalan berliku ini dipanggil Bukit Putus. Bagaimana pun Zainol berjaya membawa kami dengan selamat dan bila saja ternampak Replika Tengkolok Diraja diatas tiang yang berdiri gagah di tepi Jalan sebelah kanan, saya sudah boleh agak kami telah tiba di Bandar Diraja Negeri Sembilan itu dan tak lama kemudian kami tiba di Istana Seri Menanti tepat jam 2.15 petang. Saya tawakal sahaja masuk ke Istana, mujur kereta saya mempunyai lambang Majlis Datuk-Datuk Persekutuan, para Anggota Keselamatan yang berlapi-lapis mengawal kenderaan itu memberikan isyarat ‘Silakan Masuk’.

Di muka pintu besar Istana Seri Menanti itu saya dihampiri oleh seorang pegawai protokol dengan berbisik bertanyakan saya suami isteri dari mana , dan selepas saya maklumkan  mewakili Majlis Datuk Persekutuan , beliau membawa kami ke satu arah, dan meminta saya menulis di Buku Khas yang diletakkan di sebuah meja di sebelah kiri di belakang pintu besar istana itu.

Selepas menulis nama serta catatan takziah di buku tersebut pegawai protokol itu membawa kami menuju ke balai besar di mana di tengah-tengahnya kelihatan peterana khas yang diberi nama Takhta Ratna tersergam setinggi 10 anak tangga di mana jenazah Almarhum disemayamkan di atasnya bertutup keseluruhannya dengan kain besar berwarna kuning air yang berkisi-kisi dan berender dengan jahitan yang amat halus.
Para Pengawal Berunifom yang terdiri dari polis dan tentera serta Pengawal Diraja yang bertugas mengelilingi di halaman tengah balai istana itu membuka ruang untuk kami masuk menghampiri peterana jenazah . Selepas menghadiahkan fatihah serta membaca beberapa surah Al Quran dan doa arwah yang ringkas, kami diiringi keluar dan duduk di bawah khemah khas yang disediakan di sebelah kanan pekarangan istana tersebut.

Masa itu jam di tangan saya menunjukkan jam 2. 43 minit petang . Kelihatan  ada dalam khemah tersebut antaranya Ketua Menteri Melaka Dato’ Wira Ali Rostam, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Ramli Mahmud yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor, Anak-anak , cucu dan saudaramara Keluarga Diraja Negeri Sembilan, Tan Sri Abdullah Ahmad, Tan Seri Azman Hashim, Hakim-hakim Syar’i dan Imam-imam Negeri Sembilan. 

Sejurus kemudian kelihatan tiba Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badwi, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hasan dan ramai lagi VIP dari pelbagai negeri tiba. Tak lama kemudia tiba pula Sultan Berunai Darussalam diikuti oleh DYMM Sultan Kedah diiringi Permaisuri baginda.

Sambil berbual dengan suku sakat Istana Seri Menanti  serta memerhatikan perbarisan Askar Melayu Diraja depan Istana itu , jam ditangan saya masa itu menunjukkan pukul  3.25 minit petang , dengan cuaca disekeliling redup dengan tiupan angin yang perlahan tetapi tidak hujan.

Saya diberitahu kini para Undang Yang Empat belum lagi habis bersidang bagi kali ke empat di Dewan Keadilan Istana Seri Menanti . “ Kali ini lambat sikit proses pemilihan Yamtuan Baru, tapi seminit dua lagi selesailah ” kata sumbar dari dalam khemah itu kepada saya.  Ada empat orang calon Yamtuan Besar yang menjadi pertimbangan para Undang yang terdiri dari Undang Luak Jelebu Dato’ Musa Wahab, Undang Luak Rembau Dato’ Mohamad Sharip Othman, Undang Luak Johol Dato’ Mohd Jan Abdul Ghani dan Undang Luak Sungai Ujung Dato’ Mubarak Dohak.

Empat calon Yamtuan Negeri Sembilan itu terdiri daripada empat Anak Raja Bergelar, iaitu Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni AlmarhumTuanku Jaafar, Tunku Muda Serting , Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir .

Sejurus kemudian, semua hadirin VIP bergegas ke Balairong Seri yang letaknya di bangunan sebelah kiri Istana Besar , kerana pengumuman melalui pembesar suara memaklumkan pengumuman perlantikan Yamtuan Baru akan diumumkan segera di Balairong Seri , di belakang beberapa meter dari khemah yang kami duduk sebelum ini.

Undang Luak Sungai Ujung  Dato’ Mubarak Dohak yang menjadi ketua kepada Undang Yang Empat dan digelar Imam Undang bangun membuat pemasyhuran bahawa Tunku Besar Seri Menanti , Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah diputuskan menaiki Takhta Yang Dipertuan Besar (disebut Yamtuan Besar) bagi memerintah Negeri Sembilan yang ke 11 menggantikan Almarhum Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Tembakan meriam 21 das berkumandang di udara sebagai tanda  pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru itu secara rasmi , yang diikuti oleh laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali . Mufti Negeri Dato’ Murtadza Sheikh Ahmad bangun membaca doa memohon keberkatan Allah atas pemasyhuran tersebut.

Tunku Naquiyuddin yang duduk bersebelahan dengan Tunku Muhriz kelihatan menghulur tangannya mengucapkan tahniah atas pemilihan Yamtuan baru itu, dengan membongkokkan kepalanya tanda hormat dan menerima keputusan itu dengan baik. Sebelum ini Tunku Naquiyuddin dikatakan calon utama, berdasarkan Baginda menjadi Pemangku Yamtuan selama Almarhum Tuanku Jaafar bercuti, khususnya semasa Tuanku Jaafar menjalankan tugas sebagai Yang Dipertuan Agung Malaysia pada 26 April 1994 hingga 25 April 1999 .  

Bagaimanapun Undang Yang Empat mempunyai alasan tersendiri mengapa seseorang calon itu dipilih. Dalam peraturan pemilihan Yamtuan, tidak semestinya anak boleh mengganti bapanya memerintah. Ia bukanlah kerana faktor umur seseorang itu dipilih, boleh jadi yang tua dan boleh jadi yang muda dipilih, semuanya berdasarkan faktor yang menjadi bahan berfikir para Undang Luak berkenaan. Semasa Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Abdul Rahman ( SPB Yang Dipertuan Agung Malaysia yang pertama) mangkat dulu, yang menggantikan baginda ialah anak sulung baginda Tuanku Munawir dan selepas kemangkatan Tuanku Munawir , yang menggantikan baginda ialah adinda baginda iaitu  Almarhum Tuanku Jaafar , dan bukannya anak lelaki tunggal baginda Tunku Muhriz. Ini adalah pemilihan oleh Undang Yang Empat. Demikian sekilas imbasan mengenai perlantikan Yamtuan.

Kembali ke Balairong Seri, Pengelola Majlis mempersilakan Tuanku Muhriz menduduki singgahsana Yang Dipertuan Besar yang kosong di tengah-tengah majlis itu , dan sebaik saja Tuanku Muhriz duduk , ketiga-tiga Anak Raja berdatang  sembah tahniah kepada Yamtuan baru itu seorang demi seorang  dan diikuti oleh Undang Luak Yang Empat .

Kini Pengelola Istana merafak sembah memohon perkenan Yamtuan Besar yang baru dimasyhurkan untuk menyampaikan titah . Dalam titah ringkas itu ,  baginda melafazkan hasrat baginda untuk menunaikan amanah yang diberikan itu dengan penuh tanggungjawab , dan demi kamakmuran negeri , baginda berjanji akan menjaga keselamatan rakyat, samada rakayat Negeri Sembilan sendiri, maupun sesiapa saja yang tinggal di negeri ini .

Sebaik diumumkan majlis pemasyhuran tamat, Tuanku Muhriz mengetuai hadirin dalam Balairong Seri berjalan masuk ke Istana Besar melalui pintu sisi sebelah kiri Istana. Selepas semua kerabat Bergelar dan orang-orang kenamaan berada di keliling jenazah Almarhum Tuanku Jaafar , Tuanku Muhriz menitahkan agar istiadat pemakaman dizahirkan . Berikutan titah tersebut baharulah istiadat pemakaman dimulakan secara rasmi , dengan itu tembakan meriam mula dikumandangkan ke udara tanpa henti sehinggalah jenazah disemadikan.
 
Ini adalah mengikut adat Perpatih, yang berbunyi ‘Yamtuan Mangkat Yamtuan Menanam’ dan ‘Undang Mangkat Undang Menanam’ ,  yang membawa maksud, seseorang Yamtuan atau Undang yang mangkat tidak akan disemadikan sehinggalah Yamtuan atau Undang baru dilantik dan menjadi tanggungjawab Yamtuan atau Undang baru menitahkan agar persemadian jenazah Yamtuan atau Undang berkenaan dilaksanakan. 

Mufti Negeri memulakan bacaan doa untuk Roh Almarhum diikuti oleh anggota berunifom mengusung jenazah Almarhum Tuanku Jaafar keluar dari Istana Besar menuju ke Makam Diraja yang letaknya 400 meter di hadapan Istana Seri Menanti berhadapan  dengan Masji Tuanku Munawir yang dipisahkan satu halaman lapang dimana didirikan beberapa khemah untuk orangramai berteduh .,Jenazah Almarhum diiringi dari belakang  oleh anak-anak Raja Bergelar serta Kerabat Diraja terdekat, diikuti oleh para pembesar negara dan Negeri Sembilan dan para Diplomat dan barisan VIP .

Semasa mula mengiringi jenazah Almarhum Tuanku Jaafar itu keluar dari Balai Istana Besar , YAB Perdana Menteri  Dato’ Seri Abdullah Badawi (nama mesra Pak Lah) serta isteri dan Dato’ Najib Tun Abd Razak serta isteri, benar-benar berada di belakang Jenazah bersama-sama Sultan Brunai dan Sultan Kedah serta Anak Raja Bergelar , melalui permaidani merah di mana kami-kami semua berbaris menunggu untuk masuk barisan perarakan itu di belakang Anak-anak Raja , dan bila melihat saya , Pak Lah membuat senyum sekejap dan sambil melihat songkok saya, beliau mengangkat kening serta mengenyit mata..dan tentulah ada kisahnya !

Kisahnya ialah , kerana pada sebelah tengaharinya semasa menyambut beliau tiba di Majlis Pertunangan anak Tan Sri Anwar Musa di Bukit Damansara, Pak Lah mengkritik saya dengan kata ; “ Apa Yazid ni….Pak Lah tak kenal tadi nampak  macam Tok Bomoh mana ka.. pakai sut Melayu serba hitam , tak pakai topi ” (istilah orang utara kufiah dan songkok di panggil topi)   .

Saya menjawab, “ Saya ni dalam perjalanan ke Istana Seri Menanti Pak Lah ,  cuma singgah di sini kejap kerana Tan Seri War jemput , songkok saya ada belitan kain puteh, tak sesuai pakai dalam Majlis Pertunangan ini , saya letak dalam kereta.. maklum nak cepat Pak Lah..” .

Selepas 400 meter berjalan jenazah Al Marhum tiba di bangunan Makam Diraja yang kelihatan tak ubah sepeti sebuah masjid yang cantik bentuknya dicatkan dengan warna puteh. Tanah perkuburan atau bangunan Makam Diraja ini baru saja siap dibina kira-kira dua tahun lalu dan jenazah Almarhum Tuanku Jaafar adalah yang pertama disemadikan disini . 

Kira-kira sejam setengah baharulah jenazah selesai disemayamkan serta dibacakan talqin oleh Mufti Negeri disudahi dengan bacaan doa arwah . Masa ini langit yang sedari pagi redup dan mendung , mulai menitiskan hujan renyai-renyai , semacam matahari turut bersedih dan menitiskan airmata di atas kepergian seorang insan yang dikasihi ramai berpulang kerahmatullah meninggalkan sanak saudara serta sahabat handai yang akrab serta dikasihi dan yang mengasihinya .

Saya dan isteri bergegas ke Masjid Tuanku Munawir yang berada di hadapan Makam Diraja untuk mengerjakan Solat Asar. Dalam masjid itu kelihatan ramai juga anggota keluarga Diraja yang berpakaian serba puteh menunaikan Solat Asar . Selesai solat Asar kami berlepas pulang dengan seribu kenangan di Istana Seri Menanti itu bersama kesedihan yang masih menguasai benak kami dihimpit oleh kenangan selama enam tahun bersama Almarhum Tuanku Jaafar.

Ya Allah cucurilah rahmatmu ke atas roh hambamu dua ibu bapa kami serta roh baginda Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan masukkanlah roh mereka bersama dengan para Rasul dan Anbia dan orang-orang yang soleh dan para syuhada , Amin ya Rabbal alamin . 

 

 
< Prev   Seterusnya >
 
Joomla Templates by Joomlashack