|
JURULATIH KITAR SEMULA BOLEHKAH DIHARAP? |
|
|
|
 |
| B. SATNIANATHAN |
Media Arus Perdana negara ini, khususnya media cetak , Selasa lalu (16 Dis 2008) menyiarkan berita tentang keputusan mesyuarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Petaling Jaya yang dipengerusikan sendiri oleh Presidennya DYMM Sultan Ahmad Shah, memberikan satu lagi peluang kepada B. Sathianathan untuk membimbing skuad nasional apabila menawarkan jurulatih itu kontrak lanjutan tidak lebih setahun dengan syarat-syarat yang ketat.
Sathia diberi peluang pula membimbing skuad nasional untuk mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia mulai bulan depan sehingga ke perlawanan terakhir menentang Uzbekistan pada November depan. Bagaimanapun FAM menyatakan , Sathia tidak akan terlibat dalam persediaan skuad nasional ke Sukan SEA di Laos tahun depan, sebaliknya tugas itu akan diisi oleh jurulatih lain.
Utusan Malaysia melaporkan, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin mengumumkan keputusan FAM itu dengan menyatakan ; “ FAM menawarkan lanjutan kontrak kepada Sathia atas beberapa faktor, pertama kerana kita menaruh keyakinan terhadap skuad yang dibimbingnya.
‘‘Ia merupakan skuad yang masih muda, masih dalam pembikinan dengan purata umur pemain 24 tahun yang belum menyerlahkan potensi maksimumnya. Selain itu FAM kesuntukan masa untuk mencari jurulatih lain memandangkan saingan kelayakan Piala Asia akan bermula bulan depan,’’ katanya selepas mesyuarat jawatankuasa pengurusan skuad nasional di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sebenarnya, Sathia dikritik hebat ekoran kegagalan beliau membawa skuad nasional melepasi peringkat kelayakan Piala Asia di Phuket baru-baru ini , dimana ramai yang menjangka beliau akan meletakkan jawatan sebagai Jurulatih yang disandangnya, kerana menerima malu yang sebegitu rupa, atau FAM sendiri pasti akan menyingkirkan beliau sekiranya beliau sendiri enggan meletakkan jawatan .
Seorang teman saya yang merupakan bekas wartawan sukan dari sebuah organisasi media perdana , dan pernah bersama-sama dengan saya menjadi ahli Exco Persatuan Penulis Sukan Malaysia di penghujung tahun 90an dulu, semasa bertemu dengannya dua hari yang lalu di Kelab Darul Ehsan (KDE) berkata ;
“” Sekiranya dikitar semula jurulatih pasukan negara yang terbukti gagal membawa kemenangan kepada pasukan negara, maka imej atau maruah pasukan negara akan terjejas, terutama dimata ketua-ketua jurulatih pasukan dan para pemain negara lain khususnya yang terlibat dalam pertandingan tersebut ”
Sathia memang bernasib baik, kerana disamping keengganannya meletakkan jawatan, yang disandangnya kebetulannya pula kontraknya sudah ada di penghujung, FAM pula membuat keputusan tidak mahu menggugurkan jurulatih tersebut dan skuad tersebut tidak akan dibubarkan.
Perasaan ehsan dan belas kasihan pihak FAM khususnya DYMM Sultan Ahmad Shah Presidennya sendiri , tidak harus sekali-kali dipandang enteng oleh Sathia bahkan inilah masanya beliau kena buktikan yang beliau benar-benar mampu memikul harapan para peminat bolasepak tanahair kita..
Bagaimanapun di sepanjang tempoh kontrak tersebut, pihak FAM akan melakukan satu kajian di separuh penggal untuk menilai pencapaian skuad bimbingan Sathia dalam perlawanan kelayakan Piala Asia nanti.
Nah disinilah Sathia menentukan nasibnya sendiri, sekiranya pasukan yang dibimbingnya menang , beliau akan disahkan menjadi wira kembali dan seandainya pasukan negara terus kalah, maka kita tentulah dapat bayangkan bagaimanakah kedudukannya yang sememangnya ibarat ‘Telur Dihujung Tanduk’ itu.
Mahu atau tidak mahu, percaya atau tidak percaya, harap atau tidak harap, Sathia tetap membawa harapan rakyat negara ini khususnya para peminat sukan bolasepak negara yang bakan terus dibimbingnya kelak !
|