 |
| Aidul Adzha bukan di Mekah saja |
Dalam Islam, ada dua hariraya atau disebut dalam istilah syarak ‘Al Aidaini’ iaitu Aidul fitri atau Hariraya Fitrah dan Aidul adzha atau Hariraya Korban. Saya tidak berhajat untuk mengulas tentang peranan kedua-dua hariraya ini, tetapi yang saya nak perkatakan di sini ialah, tentang sambutan dingin pihak media tentang Hariraya Korban ini.
Walaupun bunyinya Hariraya Haji, seolah-olah ia hanya dirayakan oleh orang yang sedang melakukan ibadah haji di Mekah sahaja, padahal dalam syariat Islam gesaan melakukan ibadat Hariraya Korban ini meliputi seluruh umat Islam di segenap pelusuk dunia, tak kira samada mereka berada di Mekah ataupun tidak.
Bermula dengan Takbir dan Tahmid pada malam raya , diikuti pada keesokan paginya dengan Solat Sunat Aidil Adzha serta mendengar Khutbahnya, sampailah kepada melakukan ibdah Korban binatang ternakan seperti Lembu, Kerbau , Unta, Kuda, Kambing, Biri-biri dan sebagainya. Semua ini tidak sahaja disyariatkan kepada orang yang sedang mengerjakan Haji di Mekah, malah di mana saja terdapat orang Islam samada di Barat atau Timur.
Bagaimanapun Hariraya ini begitu dingin disambut di negara kita, kecuali penduduk Kelantan dan Trengganu. Kebanyakan dari kita menganggap pergi ke masjid sembahyang sunat Aidil Adzha hanyalah dengan keadaan biasa , sama dengan pergi ke masjid dan surau atau madrasah untuk menunaikan sembahyang berjemaah yang biasa sahaja, tanpa pakaian serba baru yang cantik-cantik seperti di Aidilfitri.
Semasa saya mula-mula menjejak kaki di Kuala Lumpur pada pertengahan 70-an , saya menjadi kehairanan yang amat sangat bila Hariraya Aidil Adzha tidak disambut meriah oleh penduduk di Lembah Klang ini. Mereka sekadar pergi ke masjid sembahyang sunat Aidil Adzha dan balik ke rumah terus tidur atau berehat kerana cuti umum.itu saja.
Sedangkan kalau di Kelantan dan Trengganu (khususnya di Besut dan Setiu), orang tidak ada masa nak berehat atau tidur pada Hariraya Aidil Adzha selepas pulang dari masjid pagi itu, malah mereka rayakan hari itu sebagaimana Hariraya Aidilfitri juga, bahkan mungkin lebih sedikit kerana ditambah oleh jamuan makan daging korban di setiap rumah, yang mesti dihadiri oleh seluruh penduduk kampong ke rumah jiran mereka lebih-lebih lagi ke rumah saudara mara , walaupun duduknya agak jauh.
Alasan tak boleh menziarah ke rumah jiran di Hariraya Aidil Adzha ini kerana perut kenyang , tidak boleh diterima umum oleh penduduk Kelantan. Mereka mesti ke rumah jiran mereka apa lagi saudara mereka dan mesti menjamah hidangan yang disediakan .Bagi mereka yang pandai, setiap buah rumah yang diziarahi diambilnya sedikit makanan dan minuman dan terus beredar ke rumah lain pula sampai selesai rumah yang ada di kampong itu.
Tetapi kalau pada rumah pertama sudah ‘balun’ sampai kenyang , nak ziarah sampai habis rumah di kampung berkenaan tentulah separuh mati kerana kekenyangan !. Bagaimanapun pada umumnya penduduk Kelantan dan Trengganu ini memang arif sepanjang masa, bila tiba hariraya ini memang mereka amat beringat tentang makan setiap rumah yang mereka ziarahi, mereka sekadar jamah makanan sedikit saja dan minum sekadar seteguk dua di setiap rumah.
Kemeriahan begini tidak pernah disiarkan oleh media negara ini samada media kecil atau media arus perdana, samada media cetak atau media elektronik. Maka jadilah perayaan Aidil Adzha tawar dan hambar bagi penduduk di luar Kelantan dan Trengganu.
Jangan dilupakan bahawa penduduk Kelantan dan Besut yang ada di Kuala Lumpur ini lebih dari 800,000 dan tidak semua balik ke kampong masa Hariraya Aidil Adzha. Paling kurang pun sekitar 30,000 warga Kelantan dan Besut bersama anggota kelurganya berada di Lembah Klang pada setiap kali Raya Haji, kerana faktor tak boleh cuti, sudah menetap di sini atau lain-lain sebab lagi. Itu di Lembah Klang saja. Di sana ada berpuluh ribu lagi orang Kelantan dan Besut di seluruh negara yang tak pulang kampong.
Oleh itu mereka ini jugalah pelanggan utama kepada media yang menyiarkan kemeriahan hariraya ini . Mereka suka melihat mana-mana saja media yang menyiarkan kemeriahan hariraya ini semasa cuti hariraya berkenaan walau di mana saja mereka berada khususnya di Kelantan dan Trengganu sendiri.
Saya mencadangkan pihak media dari pelbagai jenis agar memberikan publisiti dan liputan meluas sebagaimana yang diberikan kepada Hariraya Aidilfitri, kerana Hariraya Korban atau Hariraya Haji ini juga adalah syariat dari Junjungan Besar kita Nabi Mohammad S.A.W . Memberi publisiti kepada hariraya ini bererti samalah memberi publisiti kepada ibadah korban dan yang berkaitan dengannya, yang amat tinggi nilainya itu .
Selain itu ada banyak lagi kebaikan dan natijah dari ibadat yang berkaitan dengan Hariraya Aidil Adzha ini , apalagi dilihat dari sudut falsafah pengorbanan yang amat mulia ini. Inilah satu sumbangan besar oleh pihak media negara ini jika ia berjaya membuka minda serta menarik minat umat Islam seluruh negara meraikan hariraya ini sebagaimana yang sepatutnya.
Apa salahnya umat Islam di negara ini merayakan dua hariraya dengan cara yang amat meriah. Kan kita ini negara Islam dan Islam adalah agama rasmi negara, sewajarnyalah perayaan kedua-dua hariraya ini dijadikan tonggak perayaan rakyat yang beragama Islam tanpa mengira keturunan dan bangsa asal mereka !!!.
Trackback(0)
|