Hishamuddin Hussein
|
Apa relevannya Isu keris Panca Warisan dan kekalahan BN di PRU 12.
Inilah yang menjadi intipati di dada-dada akhbar sejak dua hari ini.
Akhbar-akhbar arus perdana semalam dan hari ini (26 dan 27 April 2008 )
ke seluruhan memaparkan berita mengenai permohonan maaf Ketua Pemuda
Umno, Hishamuddin Hussein terhadap tindakannya menghunus dan mencium
keris menyebabkan masyarakat bukan Melayu ditakutkan oleh politik
persepsi dan gembar gembur terhadap keris sebagai satu simbol. Lebih
malang lagi beliau mohon maaf kepada orang Melayu dan mengaku kalah
dan tewas kerana tidak mampu mempertahankan keris sebagai simbol
warisan bangsa.
Maka pengakuan `wira’ yang menjadi sanjungan dan harapan pemuda Melayu
ini disokong dan dipuji pula oleh pemimpin politik Melayu. Dikatakan
satu tindakan yang bijak dan sikap keperihatian Ketua Pemuda Umno
terhadap isu itu.
Apa lagi yang Melayu tinggal? Kalau semangat dan warisan budayanya
sendiri pun gagal untuk dipertahankan. Mengapa kita terlalu cepat mahu
melatah dan mengaku kesilapan yang sebenarnya ia bukan satu kesalahan
dan kesilapan. Kenapa kita terlalu mengambil sikap mahu menjaga
sensitiviti bangsa lain kerana mereka tidak memahami warisan dan budaya
kita? Kita pula dengn mudah menyinggung perasaan bangsa sendiri kerana
nak jaga perasaan bangsa lain. Salahkah kita mengamal dan mewarisi
budaya dan adat yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita berkurun-kurun
lamanya itu?
Nampak jelas di sini Hishamuddin tidak mempunyai asas semangat
keperwiraan Melayu tulin yang selama ini dilambangkan oleh Keris Pusaka
kita. Kalau Keris Pusaka itu membuatkannya rasa panas bila menyentuhnya
dan tak lena tidur dibuatnya , maka jelaslah bahawa beliau tidak layak
menyandang Keris Pusaka Bangsa yang membawa erti mendokong kuasa
kepertuanan Melayu.
Saya tidak tahu siapakah yang meminjamlan keris yang dihunus oleh Hishamuddin dulu itu.Yang pasti keris itu bukan miliknya. Melihat kepada telatahnya yang penuh rasa bersalah itu menunjukkan yang beliau tidak pernah memiliki keris pusaka Melayu. Pada hal seseorang pejuang Melayu pasti ada sekurang-kurangnya sebilah keris pusaka dalam rumahnya sama ada diletak di dinding ruang tamu atau di bilik tidurnya.
Ambillah contoh orang Melayu biasa di kampung-kampung, setiap rumah pasti ada sekurang-kurangnya sebilah keris pesaka, atau sebilah pedang , atau sebilah sundang, atau sebilah lembing. Ini semua lambang semangat Melayu, lambang ketegasan bangsa kita yang tidak boleh bertolak ansur dalam mempertahankan maruah dan hak kita bila dicerobohi oleh sesiapa saja.
Bahkan dianggap tidak normal bagi penduduk Melayu Kelantan sekiranya di rumah mereka tidak ada ‘besi’ yang dirujukkan kepada senjata.
Malukah seseorang yang berketurunan Melayu menghunus keris di khalayak ramai sambil memberi amaran hak orang Melayu jangan disentuh? Malukah seseorang pemimpin Melayu mencium keris di khalayak ramai sambil berjanji akan mempertahankan ketuanan Melayu agar memberi peringatan kepada bangsa pendatang jangan melampaui batas bila bercakap pasal menuntut hak mereka?
Jauh sekali dari perasaan nak menunjuk-nunjuk, Hishamuddian boleh datang ke rumah saya untuk melihat keris pusaka yang saya miliki. Saya ada tiga bilah keris dan sebilah pedang di rumah saya hari ini. Keris pertama yang saya miliki adalah pemberian seorang tua di kampung kepada bapa saya. Menurutnya keris itu telah berjaya membunuh seorang askar penjajah dari negara matahari terbit yang cuba memperkosa anak gadisnya di zaman Jepun di Kelantan. Keris kedua pemberian Dato’ Latif Bakar yang dihadiahkan kepadanya oleh pembesar Melayu dari Riau dan keris ketiga ialah keris luk tujuh dibuat pada tahun 1453 zaman kesultanan Sumedang Jawa. Pemilik pertamanya Budi Sumatja dan pemilik terakhir, Bogja Agung yang akhirnya diberika oleh salsilah keturunannya kepada saya. Manakala pedang itu pula saya beli sendiri di kedai barangan senjata besi di R&R Tapah.
Mengapa takut Dato’ ? Kamu tidak keseorangan di negara ini, pertahankanlah maruah bangsa kamu . Banyak calon BN kalah baru-baru ini tiada kaitan dengan keris yang kau hunus itu. Undi orang bukan Melayu beralih kepada pembangkang bukan takut kepada keris yang kamu cium itu, tetapi oleh kealpaan dan tidak kemampuan para pemimpin bukan Melayu yang menjadi komponen BN untuk berdepan dengan kaum mereka sendiri. Antara sebabnya calon yang dipilih bukan yang dikehendaki para pengundi , tetapi adalah yang dikehendaki oleh pemimpin mereka!!!
Gambar dari http://www.straitstimes.com/
|