|
KOTA KINABALU 22 April – Gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan hampir dua juta penduduk Sabah terpaksa ‘bergelap’ malam tadi berpunca daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencuri besi palang penyokong sebuah menara kabel elektrik di Kampung Suang Parai dekat sini.
Polis mendapati besi palang itu telah dicuri beberapa hari lalu mengakibatkan menara tersebut tumbang dan menjejaskan penghantaran bekalan elektrik ke hampir 90 peratus daerah di negeri ini.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria
berkata, polis sedang mengesan individu yang mencuri besi itu dengan
bantuan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).
“Kes ini adalah kes jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang
jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh
tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," kata Ahmad Sofi kepada
pemberita selepas melawat tempat menara kabel itu tumbang di sini hari
ini.
Menurut beliau, polis yang menerima laporan daripada SESB lewat malam tadi menggerakkan anggotanya melakukan siasatan menyeluruh termasuk mencari bukti di kedai-kedai membeli besi buruk.
Sementara itu, Pengarah Urusan SESB, Ir. Baharin Din melahirkan perasaan kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
“Mereka mencuri 20 palang besi pada menara kabel itu yang harganya dianggarkan cuma RM40. Kerana hendakkan RM40, ia menjejaskan ekonomi negeri yang bernilai jutaan ringgit,” katanya.
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
Trackback(0)
|